Rabu, 27 April 2016

Sarawak-Putrajaya bincang kaji dasar kabotaj

FREE MALAYSIA TODAY


Sarawak mahu membawa masuk barangan tanpa perlu lagi melalui Pelabuhan Klang sehingga menyebabkan kos berganda


Abang-Johari


KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang berbincang dengan kerajaan pusat untuk mengkaji Dasar Kabotaj bagi menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan ramai lagi usahawan di negeri ini.

Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berharap melalui kajian itu, mana-mana produk dan bahan berasaskan makanan boleh terus dibawa ke negeri ini, dan tidak perlu lagi melalui Pelabuhan Klang sehingga menyebabkan kos berganda.

“Perdagangan kita banyak. Kita boleh import terus makanan dari Guangzhou, Beijing dan Hongkong tanpa melalui Pelabuhan Klang.

“Malah, kalau ada hubungan dengan India, kita boleh import bawang terus dari sana dan ini menguntungkan rakyat Sarawak,” katanya ketika merasmikan Sama Kampung KitchenWare Sdn Bhd di sini.

Beliau berkata ia juga akan menggalakkan lebih ramai usahawan untuk terus berurus niaga, serta melahirkan banyak golongan itu yang menceburi perniagaan berasaskan industri makanan yang baharu.

Di bawah Dasar Kabotaj, pengangkutan barang-barang dan penumpang dari mana-mana pelabuhan atau tempat di Malaysia ke pelabuhan atau tempat lain di negara ini, hendaklah diangkut dengan kapal berdaftar dengan Malaysia dan mempunyai lesen perkapalan dalam negeri yang sah.

Sementara itu, Abang Johari yang bertanding untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, menggesa lebih ramai usahawan tempatan membangunkan hasil pertanian dengan mengambil peluang daripada kawasan yang luas di Sarawak.

“Tanah kita luas. Kita boleh labur dalam pelbagai hasil pertanian untuk pasaran tempatan dan luar. Cara berniaga kita perlu berubah, kita tidak boleh seperti dahulu,” katanya.-BERNAMA

Tiada ulasan: