Ahad, 17 April 2016

Sanggup berhujan demi ceramah Dr Zakir Naik

Sanggup berhujan demi ceramah Dr Zakir Naik
Peserta ceramah penndakwah terkenal, Dr Zakir Naik sanggup meredah hujan dan mengambil semula ruang tempat tempat lapangan tengah Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang ditinggal kosong akibat hujan, semalam. - Foto Sinar Online oleh ATIRAH HASLI
 
 
KUALA LUMPUR - Meski hujan lebat mencurah-curah namun ia bukan halangan kepada orang ramai untuk terus setia mendengar ceramah oleh pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik yang berlangsung di ibu negara, semalam.

Malah rata-rata peserta mengambil inisiatif menggunakan kanvas biru untuk berlindung daripada hujan lebat.

Ada juga peserta yang menggunakan plastik biru sebagai baju hujan, selain menggunakan payung untuk berteduh.

Salah seorang peserta yang ditemui Sinar Online, Nurul Nabilah Mohamad, 23, berkata, walaupun hujan, namun apa yang diutamakan adalah ilmu yang bakal diperoleh daripada program tersebut.

"Saya memang datang untuk dengar sendiri apa yang diperkatakan (oleh penceramah). Mudah-mudahan berbaloi saya berhujan hanya semata-mata ilmu yang akan diperoleh daripada ceramah Dr Zakir," katanya.

Bagi Noraishah Mat Taharin, 19, pula, dia bersama keluarga sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mendengar ceramah oleh Tokoh Maal Hijrah 2013 itu.

"Kami datang dua bas dari Perak untuk dengar ceramah daripada anak Zakir dan Zakir sendiri.

"Ilmu mereka memang tinggi, kami kagum dengan mereka yang mendalami pelbagai ilmu sehinggakan mereka sangat memahami kitab Hindu dan agama lain. Kami sanggup berteduh dalam hujan pun kami sanggup asalkan dapat dengar sendiri ceramah yang disampaikan oleh Dr Zakir," ujarnya.

Wartawan Sinar Online yang membuat liputan turut dibasahi hujan bersama-sama peserta ceramah yang tidak berganjak seawal jam 5 petang.

Program ceramah bertajuk 'Is the Qur'an God's word?'‎ dibawakan oleh Dr Zakir bermula jam 5 petang dan dijangka berakhir pada 9 malam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.


Tiada ulasan: