Jumaat, 8 April 2016

Salleh: RTM sedia siar debat Rahman-Guan Eng

MALAYSIAKINI




Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedia menyiarkan secara langsung debat mengenai tanah Taman Manggis antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata RTM akan membantu melancarkan perjalanan debat itu melalui slot program 'Demokrasi' RTM.

"Kami bersedia menyiarkan secara langsung debat itu dan terpulang kepada mereka berdua untuk menerima tawaran ini. Debat itu akan tanpa kehadiran audien bagi memastikan program berjalan lancar," katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Rahman yang juga pengarah komunikasi strategik BN, menyambut baik kesediaan Lim untuk menyertai debat umum itu dengan beliau.

Dalam catatan Twitternya, Abdul Rahman berkata: "Saya menyambut baik debat umum mengenai (tanah) Taman Manggis itu. Pegawai saya akan hubungi pihak anda (YAB Ketua Menteri) untuk menyelesaikan butiran yang perlu."

"Debat itu akan membolehkan rakyat Pulau Pinnag mengetahui fakta dan kebenaran di sebalik skandal Taman Manggis," Abdul Rahman dipetik sebagai berkata demikian.

Semalam Lim berkata beliau bersedia untuk berdebat dengan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan mengenai perkara itu, malah mahukan acara itu disiarkan secara langsung.

BN mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP menjual tanah Taman Manggis sedangkan tanah itu telah diperuntuk bagi pembinaan rumah mampu milik.- Bernama


Tiada ulasan: