Jumaat, 8 April 2016

Saksi: DNA pada kemeja-T sepadan DNA 'unknown' dan seorang tertuduh

MALAYSIAKINI




Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu campuran DNA yang ditemukan pada tompokan darah di bahagian depan sehelai kemeja-T adalah sepadan dengan DNA 'unknown' (tidak diketahui) dan DNA seorang tertuduh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.

Ahli Kimia Forensik DNA Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon, 43, berkata profil DNA bercampur yang dijumpai pada bahagian hadapan kemeja-T hitam itu sepadan dengan DNA yang diperoleh dari spesimen tulang berlabel 'unknown' dan DNA spesimen darah berlabel S Nimalan.

Dalam keterangannya semalam, Nor Aidora berkata DNA spesimen tulang berlabel 'unknown' itu sepadan dengan DNA sampel yang diperoleh daripada adik-beradik kandung Kevin Morais iaitu David Ramesh dan Richard Dilaan.

Ketika ditanya dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada berlaku sentuhan antara DNA 'unknown' dengan DNA Nimalan, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata "berkemungkinan bersentuhan dan mungkin juga tidak".

Nor Aidora turut memberitahu mahkamah bahawa beliau mendapatkan DNA itu dengan cara mengikis baju tersebut.

"Terdapat tiga cara untuk memperoleh kesan DNA surih iaitu memotong tempat yang berkenaan, mengambil dengan kapas kesat dan menggunakan pisau pengikis yang sangat tajam untuk mengikis apa sahaja yang melekat pada barang bukti.

"Teknik saya untuk mendapatkan DNA surih pada baju ini ialah dengan mengikis," katanya sambil menambah teknik itu lebih efektif untuk mendapatkan DNA surih yang lebih besar.

Bagaimanapun, Nor Aidora tidak menolak kemungkinan profil DNA tidak dapat diperoleh berikutan proses pereputan badan manusia yang menyebabkan kehadiran bakteria selain faktor kelembapan dan suhu tinggi melampau.

Beliau berkata satu profil DNA diperoleh pada bahagian ketiak kanan dan kiri kemeja-T itu yang dikemukakan sebagai bahan bukti dalam kes tersebut sepadan dengan profil DNA berlabel Nimalan dan S Ravi Chandaran.

"Semasa saya terima kemeja-T ini, saya menjalankan ujian DNA surih ke atas beberapa tompokan yang ditandakan pada bahagian ketiak kanan dan kiri serta di bahagian hadapan baju tersebut.

"DNA itu berpadanan dengan profil DNA daripada dua spesimen kesan darah berlabel S Nimalan dan S Ravi Chandaran," katanya dalam keterangannya di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Menjawab mengenai keselamatan barang kes, Nor Aidora berkata beliau yakin barang kes yang diterimanya tersimpan dengan selamat dan tidak diganggu berdasarkan prosedur penyimpanan yang rapi di bilik kebal di jabatannya.

"Apabila kami menerima (barang kes) daripada pihak polis, kami akan daftar, beri nombor makmal dan keluarkan pelekat bagi setiap barang kes sebelum memasukkan ke dalam plastik yang di 'heat seal' (pateri), ditandatangani dan disimpan di dalam bilik kebal berkunci," katanya.

Ketika ditanya Wan Shaharuddin, saksi itu turut menjelaskan bahawa DNA tidak akan diperoleh sekiranya barang kes diganggu kerana DNA yang terdapat pada setiap barang kes adalah unik.

Semasa pemeriksaan balas peguam Datuk N Sivananthan, mewakili tertuduh Kol Dr R Kunaseegaran, mengenai 'Male 1' (Lelaki 1), pada satu profil DNA bercampur dari dua individu yang ditemukan pada kesan darah di atas wayar, Nor Aidora berkata: "Saya membuat kesimpulan terdapat individu lain, seorang lelaki".

"Bagaimanapun, saya tidak dapat memutuskan sama ada ia (DNA) itu sepadan atau tidak dengan 11 sampel individu lain kerana kelemahan DNA 'Male 1," katanya.

Bagi tujuan analisis DNA, Nor Aidora berkata beliau menerima 11 sampel darah daripada individu berlainan.

Kepada soalan Sivananthan, sama ada terdapat DNA Kunaseegaran pada mana-mana barang kes setakat ini, Nor Aidora berkata beliau tidak menjumpai apa-apa profil DNA yang bersamaan dengan profil DNA pada spesimen kesan darah WB4 yang berlabel Kunaseegaran.

Sivananthan : Semua 11 sampel tidak boleh menjadi 'Male 1'?
Nor Aidora : Ya

Sivananthan : Siapakah 'Male 1' itulah persoalannya, benar?
Nor Aidora : Ya

Sementara itu pada prosiding hari ketiga, kelihatan pihak pendakwaan, pengamal media dan keluarga tertuduh masih memakai penutup hidung ekoran bau kurang menyenangkan berpunca dari barang kes yang dibawa ke mahkamah untuk tujuan pengecaman.

Pada 27 Januari lepas, enam lelaki - G Gunasekaran, 48; R Dinishwaran, 24; A K Thinesh Kumar, 23; M Vishwanath, 26; Nimalan, 23; dan Ravi Chandaran, 45; didakwa membunuh Kevin Morais antara jam 7 pagi dan 8 malam 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa yang sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 akta sama.

Gunasekaran, Vishwanath, Nimalan dan Ravi Chandaran diwakili peguam V Rajehgopal manakala Dinishwaran dan Thinesh Kumar diwakili peguam M.Manoharan dan peguam Sivananthan mewakili Dr Kunaseegaran.

Perbicaraan bersambung Selasa.- Bernama


Tiada ulasan: