Rabu, 13 April 2016

Said Zahari dalam kenangan

ZIN MAHMUD


Kenangan 1975. Aku tingkatan empat. Pada satu hari aku berada di kedai buku Pustaka Antara, Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Aku terlihat sebuah buku baharu berwarna putih tidak tebal. Tajuknya, menurut apa yang aku ingat ialah Sajak Sajak dari Penjara.

Zin MahmudZin Mahmud


Ia merupakan antologi sajak dwi bahasa, Melayu dan Inggeris. Penyairnya ialah Said Zahari. Siapakah Said Zahari ini? Di belakang buku itu ada catatan oleh Usman Awang.

Setelah aku belek belek, ternyata Said Zahari adalah seorang tahanan politik di Singapura. Beliau adalah seideologi denganku.

Tanpa berlengah lengah aku terus saja beli antologi itu.

Aku rasa pertama kali aku bertemu beliau ialah dalam satu majlis yang aku sudah lupa majlis apa.

Majlis itu diadakan di pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin.

Banyak kisah mengenai Pak Said yang aku dengar ialah dari Tan Sri Zainuddin Maidin (ZAM).

Pak Said yang ketika menjadi pengarang Utusan Melayu telah mengambil Zam kerja sebagai pemberita.

Ketika itu Zam adalah orang kiri. Pak Said sememangnya kiri. Pak Said mengambil Zam sebab kecenderongan beliau ketika itu adalah kiri.

Pertama kali aku bersembang panjang dengan Pak Said ialah ketika aku menjadi Pengarang Rencana Utusan Malaysia.

Aku pergi ke rumahnya di Subang Jaya bersama dengan seorang pegawai Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd yang menerbitkan memoirnya secara kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kali kedua aku pergi dengan Nor Azam Shairi, ketika itu beliau adalah wartawan Mingguan Malaysia.

Kali ketiga aku pergi ialah dengan pengarang Mastika, Zulkarnain Zakaria serta seorang lagi wartawan Mastika.

Ketika itu aku Ketua Pengarang Utusan Karya yang menerbitkan Mastika. Kami membawa beliau makan tengah hari di sebuah restoran. Kisah pertemuan ini tersiar dalam majalah Mastika dan Tinta.

Ketika aku mula menjadi Pengarang Mingguan Malaysia dan melancarkan majlis wajah baharu bersama Utusan Malaysia di dewan pejabat Utusan, aku mengundang Pak Said untuk hadir.

Ku Seman, ketika itu Penolong Pengarang Mingguan Malaysia mengatur pengangkutan untuk membawa Pak Said.

Terakhir aku menemui Pak Said ialah di rumahnya dengan seorang pegawai Utusan Publications & Distributors beberapa tahun lalu.

Apa yang aku ingat ialah kupasan yang mendalam oleh beliau mengenai erti sebenar kemerdekaan dan nasionalisme yang pernah diperjuangkannya hingga membawa kepada beliau untuk memimpin mogok Utusan bagi membantah akhbar itu diambil alih oleh UMNO.

Setelah mogok itu gagal, beliau pun meninggalkan Kuala Lumpur dan pulang ke Singapura.

Di Singapura beliau menyertai politik dan menjadi Ketua Parti Rakyat Singapura.

Parti ini adalah sefahaman dengan Parti Rakyat Malaya pimpinan Ahmad Boestamam dan Parti Rakyat Brunei pimpinan Said Azahari.

Tahun 1960, Singapura belum merdeka. Malaysia belum ditubuhkan.

Di pulau itu, Parti Rakyat Singapura bersekutu dengan Barisan Sosialis menentang parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew.

Dalam operasi Cold Storage, kerajaan PAP Singapura menangkap pemimpin Barisan Sosialis dan sekutu sekutunya termasuk Pak Said.

Mereka ditahan bertahun tahun lamanya. Setelah dibebaskan, Pak Said berhijrah ke Kuala Lumpur. Al Fatihah.

Tiada ulasan: