Selasa, 12 April 2016

Rumah Ngaji bersama gelandangan


AHMAD ISMADI ISMAIL

Rumah Ngaji bersama gelandangan
Fazrul memberi ibrah pengajaran surah kepada peserta.


KUALA LUMPUR – Golongan gelandangan yang beragama Islam di sekitar ibu negara tidak melepaskan peluang menyertai program Quran Hour dan ibrah surah bersama penceramah, Fazrul Ismail.

Program Quran Hour itu juga dapat membantu peserta memahami maksud beberapa surah di dalam al-Quran.

Pendekatan yang dilaksanakan dapat membantu golongan itu mendalami pengajaran ayat yang disebut sebagai ibrah daripada setiap surah yang ada di dalam al-Quran.

Program itu turut memberi peluang kepada peserta mengisi aspek kerohanian.

Peserta, Rizal (bukan nama sebenar) berkata, dia berpeluang menimba ilmu agama melalui program sedemikian.

“Saya kena bermula balik mengaji. Program yang diadakan ini sangat bagus bagi saya. Saya telah mengikuti program ini sejak ia mula dilancarkan bulan lalu,” katanya.

Rizal berkata, dia turut mengajak rakan-rakan gelandangan turut serta.

“Mereka bersungguh-sungguh mahu ilmu dalam program ini. Mereka juga gembira diberi peluang menyertai program yang diadakan setiap Khamis,” katanya.

Peserta, Kamarudin (bukan nama sebenar) berkata, dia mendapat banyak manfaat setelah menyertai program Rumah Ngaji.

“Individu yang tidak tahu mengaji, kini boleh mengaji, mengenal al-Quran,” katanya.

Kamarudin berkata, pada awalnya dia menyertai program itu setelah diajak rakan-rakan.

“Setelah sekian lama menyertai program ini, ia menimbulkan keinginan sendiri mengenali al-Quran,” katanya.

Sukarelawan Baitul Fiqh, Muhammad Hassan Kassim berkata, pihaknya mengumpulkan golongan gelandangan untuk memberi peluang kepada mereka menghayati, memahami dan mengamalkan pembacaan al-Quran.

“Kita tidak tahu sejauh mana golongan itu mendalami dan memahami maksud ayat-ayat al-Quran,” katanya

Muhammad Hassan, sukarelawan yang terlibat membantu seperti memberi al-Quran, makanan, baju dan kopiah berharap golongan itu dapat mendekatkan diri dengan al-Quran.

Seorang lagi sukarelawan Baitul Fiqh, Zarina Rie berkata, dengan memberi makanan kepada gelandangan, di samping terlibat dengan program Rumah Ngaji itu, dia dapat bermuhasabah diri.

“Program sebegini banyak menginsafkan diri. Program ini amat bagus. Golongan sebegini mungkin mencari wadah, tempat untuk mencari ilmu sebegini.

“Berkemungkinan akibat status sebagai golongan gelandangan, mereka tidak dapat peluang seperti ini. Kami jadikan program ini untuk mendekatkan mereka dengan al-Quran, jadi mereka tidak berasa terasing dan terbiar,” katanya.

Turut hadir dalam program berkenaan, Pengerusi Baitul Fiqh, Haliza Halim dan Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Abdul Jalil Ali.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, program Quran Hour bersama golongan gelandangan merupakan anjuran utama Baitul Fiqh dengan kerjasama Rumah Ngaji.

“Ini adalah program khusus yang kita lakukan untuk golongan gelandangan sejak 3 Mac lalu, setiap minggu program ini diadakan untuk golongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Pada mulanya, kami jangka program ini tidak mendapat sambutan daripada golongan tersebut, rupanya jumlah mereka yang hadir menyertai program ini di luar jangkaan, setiap kelas mengaji yang diadakan pasti penuh,” katanya.

Marhaini berkata, ada restoran yang sudi menaja program berkenaan.

“Masa awal-awal program ini diadakan, rakan jalanan hanya mengaji di tepi Sungai Klang, tetapi setelah beberapa kali program ini diadakan, ada yang menawarkan tempat serta restoran untuk program ini diadakan,” katanya.

Beliau berkata, kelas khusus berhubung teknik bacaan Cordobana akan diadakan untuk golongan gelandangan pada 12 hingga 14 April ini di Masjid Negara.

“Tujuan kami mengadakan program seperti Quran Hour untuk golongan tersebut adalah, kita mahu Al-Quran menjadi landasan kehidupan, menjadi terapi, meluruskan emosi dan akhlak semua orang.

“Selain itu program Quran Hour turut diadakan di sekolah atau organisasi,” katanya.




Tiada ulasan: