Sabtu, 9 April 2016

Rafizi tak akan mohon maaf atas kenyataan mengenai Rosmah

Alyaa Azhar

 


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau tidak akan memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi akan menunggu untuk berjumpa perdana menteri itu di mahkamah.

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa kenyataannya mengenai isteri perdana menteri semasa perhimpunan anti-GST Sabtu lepas adalah satu gurauan.

Di perhimpunan itu, Rafizi membuat rujukannya kepada Datin Seri Rosmah Mansor dan Jakel Trading.
"Saya akan jumpa mereka di mahkamah. Saya tidak akan mohon maaf kerana saya berkata secara berseloroh," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam ceramah, katanya, perkara selalu disebut secara berseloroh.

Sambil mengakui bahawa Najib mempunyai hak untuk menyaman, ahli Parlimen Pandan itu bagaimanapun berkata perdana menteri tidak perlu bersikap dwi-standard berhubung perkara itu.

"Jika anda mahu menjadi begitu sensitif, samanlah (Tun Dr) Mahathir Mohamad, Wall Street Journal dan sesiapa yang mengatakan perkara yang sama," katanya.

Sebagai ahli politik, kata Rafizi, seseorang tidak sepatutnya terlalu cepat untuk memfailkan saman fitnah.
"Saya tidak fikir ahli politik patut menyaman orang - orang bercakap tentang anda setiap hari.

"Kita mempunyai akses kepada media untuk menjelaskan cerita kita pulak. Apabila saya diserang dengan dakwaan bahawa saya dipecat daripada Petronas kerana didakwa mencuri wang, saya hanya menjelaskan perkara itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat pengecualian di bawah keadaan tertentu.

Memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang mendakwa Rafizi mereka cerita tentang arahan polis untuk meletakkan tangan di belakangnya semasa ditangkap baru-baru ini, ahli Parlimen itu berkata beliau menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang kerana ia melibatkan kredibiliti beliau .

"Itu (dakwaan itu) akan memberi kesan bagaimana saya akan meneruskan tugas saya. Apabila saya membuat pendedahan, ia akan menjadi mudah bagi orang untuk memetik beliau (IGP) dan mengatakan bahawa saya berbohong," kaa Rafizi, sambil menambah beliau akan menghentikan proses menyaman IGP jika beliau tidak mengulangi kenyataannya.

Peguam Rafizi, Saiful Izham Ramli, mendakwa pegawai polis telah mengarahkan anak guamnya untuk pastikan tangan di belakangnya semasa dia ditangkap di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Walau bagaimanapun, Khalid menyangkalnya sebagai "cerita dongeng untuk mengelirukan orang ramai".
Rafizi bertegas bahawa arahan itu adalah dari pegawai polis yang menjaganya, dan sedang menimbang untukmenyaman IGP.

Tiada ulasan: