Selasa, 5 April 2016

Rafizi cabar pengerusi LTAT saman guna duit sendiri

MALAYSIAKINI




Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mencabar pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyaman beliau atas kapasiti peribadi.

Anggota parlimen Pandan itu juga mencabar Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin menggunakan wang sendiri untuk membayar kos guaman.

“Saya kesal jika mereka menggunakan wang caruman pesara tentera untuk menyaman saya sedangkan setakat ini mereka gagal menafikan fakta-fakta yang saya kemukakan,” kata Rafizi (gambar)

LTAT semalam dilapor telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaan terhadapnya yang didakwa fitnah, berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti lembaga itu.

Pengerusinya Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, LTAT telah memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau.

Rafizi antaranya mendakwa masih ramai pesara tentera tidak menerima pembayaran gratuiti.

Dalam kenyataan hari ini, Rafizi berkata, beliau bersedia berdepan dengan kedua-dua pegawai kanan LTAT itu serta akan memanggil saksi-saksi daripada kalangan pesara tentera yang lewat dibayar caruman untuk memberi keterangan.

“Saya juga akan mengambil peluang ini untuk menanyakan soalan-soalan berhubung penglibatan LTAT dengan 1MDB terutamanya yang melibatkan peranan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

“Saya yakin ia akan menjadi satu perbicaraan yang mendapat perhatian dunia,” katanya.


Tiada ulasan: