Selasa, 5 April 2016

Pua ingatkan 1MDB henti jadi 'keldai'

Kow Gah Chie

 


Pertikaman lidah antara 1MDB dengan salah seorang pengkritik paling lantangnya terheret ke tahap kedua-dua pihak melabelkan sesama mereka dengan panggilan binatang.

Setelah digambarkan sebagai "one trick pony" oleh firma pelaburan negara itu kerana mengitar semula tuduhan lama terhadapnya, ahli parlimen DAP Tony Pua hari ini menggesa 1MDB berhenti menjadikan diri sendiri sebagai “keldai”.

Beliau juga mengkritik 1MDB kerana "tidak dapat menjawab soalan yang mudah".

"Mengapa tidak boleh 1MDB memberikan jawapan yang lurus dan mudah kepada rakyat Malaysia jika ia tidak bersalah daripada sebarang salah laku?

"Kenapa 1MDB bersembunyi di sebalik tabir kerahsiaan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Ketua Audit Negara jika ia tidak mempunyai apa yang mahu disembunyikan?" katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

"1MDB boleh panggil saya apa sahaja yang ia suka - kuda, keldai atau monyet. Bagaimanapun ia perlu henti menjadikan diri sendiri sebagai keldai dengan berfikir bahawa rakyat Malaysia adalah bodoh dan mudah terpedaya dengan cubaan untuk menutup penipuan berbilion ringgit," katanya.

Beliau merujuk kepada soalan mengapa 1MDB membayar AS$1.4 bilion kepada sebuah entiti yang berdaftar di British Virgin Island (BVI) iaitu "Aabar Investment PJS Limited" dan bukannya "Aabar Investment PJS", anak syarikat International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

"1MDB dakwa tujuan bayaran AS$1.4 bilion itu dijelaskan dalam penyata kewangan yang diaudit oleh Deloitte pada tahun 2013 dan 2014.

"Mengapa bayaran dibuat kepada Aabar yang berdaftar di BVI dan bukannya kepada Aabar sebenar (seperti yang ditetapkan dalam perjanjian)?" soalnya.

The Wall Street Journal melaporkan AS$155 juta daripada Aabar yang berdaftar di BVI telah dipindahkan ke Red Granite Pictures.

Red Granite berpangkalan di Amerika Syarikat dan dimiliki oleh Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, 1MDB menafikan dakwaan firma itu membiayai filem Wolf of Wall Street yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, terbitan Red Granite.

Tiada ulasan: