Ahad, 17 April 2016

PTRS bantu 5,600 pelajar dapat tuisyen percuma

OLEH : SYASYA SUFIAN


SHAH ALAM: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) diwujudkan sebagai bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan secara percuma khusus untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari keluarga berpendapatan rendah.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sasaran PTRS adalah membantu pelajar daripada keluarga sederhana dan kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan di pusat tuisyen.

PTRS


“Kerana keadaan ekonomi semakin membimbangkan, kos perbelanjaan di pusat tuisyen juga semakin mahal, jadi Kerajaan Negeri mengambil inisiatif membantu pelajar berasal daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000.

“Mata pelajaran ditawarkan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah terhad kepada 100 pelajar di setiap 56 DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Pelancaran Program Perdana Bersama Pelajar Tuisyen Rakyat Selangor 2016 di Dewan Raja Muda, Shah Alam, di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata program itu bertujuan menyampaikan maklumat kepada pelajar tentang institusi ditawarkan Kerajaan Negeri untuk mereka menyambungkan pengajian selepas tamat SPM.

“Pelajar diberi peluang mendengar pengalaman daripada alumni PTRS tentang kejayaan mereka mengikuti pusat pengajian di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri seperti Universiti Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan INPENS.

“Mereka juga diberi pendedahan tentang kelebihan sebagai anak Selangor seperti Bantuan Anak Masuk Universiti dan Institusi Kemahiran seperti Program Internship High Impact Talent (i-HIT).

“Serta Program Youth Enhancement Strategy (YES) Selangor dengan kerjasama Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) yang menjamin pekerjaan dan pendapatan lumayan selepas tamat pengajian,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek, Lai Nyuk Lan dan Setiausaha Kerajaan Selangor Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Datin Wan Rabiah Wan Mohd Yusof.EZY


Tiada ulasan: