Isnin, 25 April 2016

PRN Sarawak: PKR kemuka calon muflis, gagal hadir

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR memohon maaf dan melahirkan rasa kesalnya ekoran memberi kemenangan mudah kepada calon Barisan Nasional (BN), di DUN (N82) Bukit Sari dan kegagalan menyemak latarbelakang calon (N04) Pantai Damai.
 
Pengarah Operasi Bilik Gerakan PKR negeri itu, Ismail Yusop mengesahkan calon parti itu untuk kerusi Pantai Damai ditolak sebab muflis dan calon Bukit Sari gagal hadir tanpa menyatakan sebarang alasan.
 
Ismail mengakui perkara ini adalah kecuaian jawatankuasa pilihan raya parti itu.
 
"PKR merakamkan kekesalan yang mendalam ke atas kerusi yang dimenangi pihak Barisan Nasional tanpa bertanding, iaitu N82 Bukit Sari.  
 
"Kami memohon maaf atas kecuaian Jawatankuasa Pilihanraya Sarawak ini kepada seluruh penyokong parti. Kami amat kecewa dengan perubahan keputusan pada saat-saat terakhir ini dan kes ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin.
 
"Penamaan calon Pantai Damai terbatal disebabkan beliau muflis kerana menjadi penjamin pinjaman. Parti akan meneliti semula proses penyemakan calon," katanya dalam satu kenyataan.
 
Ini menjadikan DUN Pantai Damai yang sepatutnya menyaksikan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan PKR, namun mengecil kepada sekurang-kurangnya dua penjuru sahaja (tanpa mengambil kira calon-calon Bebas).
 
DUN Pantai Damai ialah kerusi yang disandang calon BN, Dr. Abdul Rahman Junaidi yang memenangi kerusi tersebut pada 2011 dengan mengalahkan calon PKR, Wan Zainal Abidin Wan Senusi dengan majoriti 5,071 undi.
 
Calon BN Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding kawasan tersebut pagi tadi.
 
 

Tiada ulasan: