Khamis, 7 April 2016

PRN Sarawak: PAS, PKR bertindih di beberapa kawasan - Shaharuddin

Oleh Sharifah Azmawati binti Syed Abdul Aziz
Post Pic
SHAH ALAM: PKR akan mengambil pendekatan berunding dengan PAS berikutan beberapa kerusi yang mahu ditandingi parti Islam itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, adalah kerusi tradisional PKR, ditegaskan oleh Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

Shaharuddin berkata, terdapat beberapa kerusi yang diumumkan PAS sebenarnya adalah kawasan tradisional PKR bertanding sejak PRN Sarawak 2001 lagi.

"Masalahnya ada dua tiga kerusi, apa dia yang ada mungkin memang kita akan meletakkan calon. Sebagai contoh di Pantai Damai, yang keduanya di Gedong, saya tak pasti kena semak balik (kawasan itu). Itu dua kawasan la yang saya boleh kenal pasti, maknanya Keadilan akan meletakkan calon di situ.

"Jadi bagi saya kalau boleh ada penyelesaian mesti lakukan, pasal hubungan ada di antara PAS dan Keadilan. Jadi kita akan cuba selesaikan sebaik mungkin untuk memastikan supaya tidak ada pertembungan yang berlaku. Kalau pertembungan maknanya rugi kat kita, BN akan senyum dan gelaklah," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai 11 kerusi yang sudah pun ditetapkkan oleh parti Islam Se-Malaysia itu yang akan ditandinginya pada PRN Sarawak ke 11 nanti.

Bagi PRN Sarawak ke-11, PAS akan bertanding di Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju, yang merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri yang baru.

Ketika ditanya sama ada PKR akan beralah dengan PAS bersabit beberapa kerusi yang dilihat bertindih, Shaharuddin mempersoalkan keapa perlunya PKR berbuat demikian.

Tegasnya, kerusi bertindih itu adalah kerusi lama PKR, justeru turut mempersoalkan kewajaran PKR meminta kebenaran terlebih dahulu daripada PAS.

"Kita tak minta apa-apa, sebelum itu di kawasan itu yang bertanding itu adalah Keadilan. Tempat Gedong dan Pantai Damai itu, itu adalah tempat tradisinya yang ditandingi oleh Keadilan setiap tahun sejak 2001.

"Jadi tak timbullah kita hendak minta kerusi (daripada PAS), orang lainla kena minta pada kita sebab kita bertanding di situ sejak 2001, cuma kita hendak bertanding di tempat itu, cuma itu," katanya.

Shaharuddin yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Selangor (UNISEL) bagaimanapun percaya, rundingan bersama dengan PAS itu akan berjalan dengan baik walaupun PAS sudah mengumumkan calon-calon mereka pada PRN Sarawak yang ke 11 itu.

"Tapi kalau boleh buka perundingan itu semula. Tak timbul soal siapa hendak bertanding kat mana, atau pun siapa hendak bagi siapa, atau pun siapa hendak minta siapa.

"Jadi selagi kita ada hubungan itu, kita akan selesaikan apa dia masalah perundingan kerusi itu sampailah pada penamaan calon akan datang nanti," katanya.

Untuk rekod, dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 2011, PAS bertanding di lima kawasan - Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.

Sementara PKR setakat ini masih lagi belum membuat sebarang pengumuman rasmi bersabit calon-calon yang akan dipertandingkan pada PRN Sarawak ke-11 walaupun sebelum ini memberitahu pencalonan itu akan diumumkan kelmarin oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.


Tiada ulasan: