Isnin, 4 April 2016

PRN Sarawak: Menteri muda titis air mata serah nasib pada Adenan

FREE MALAYSIA TODAY


Rakyat di Simunjan dan Gedong perlu bersatu untuk meneruskan legasi Simunjan sebagai kubu kuat BN serta meneruskan pembangunan


Naroden,satem.


SIMUNJAN: Bakal calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais menitiskan air mata hari ini bila berkata, beliau menyerahkan kepada Ketua Menteri untuk menentukan nasibnya dalam pilihan raya negeri akan datang.

Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pekan Simunjan, Mohd Naroden dengan nada sebak berkata, “Sekiranya saya tidak dipilih untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, saya akan tetap menyokong BN.

“Saya serta isteri mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakyat di Simunjan yang selama ini memberi sokongan kuat kepada diri saya sebagai wakil mereka,” kata penyandang kerusi Simunjan itu.

Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) berkata,
rakyat di Simunjan dan Gedong perlu bersatu untuk meneruskan legasi Simunjan sebagai kubu kuat BN serta meneruskan pembangunan.

Katanya, sudah banyak pembangunan dilaksanakan di Simunjan dan beliau berazam meneruskan pembangunan yang sudah dirancang sekira dicalon bertanding di kerusi Gedong dan seterusnya memenangi kerusi berkenaan.

Adenan sebaik memulakan ucapan pada majlis itu segera menenangkan Naroden dan berkata: “Tanpa ragu-ragu lagi saya mengesahkan bahawa Datuk Mohd Naroden Majais sebagai calon BN bagi kerusi Gedong pada pilihan raya negeri akan datang”.

Pengumuman beliau itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada kira-kira 10,000 hadirin.

Kerusi Simunjan dipecah dua untuk mewujudkan sebuah kerusi baharu, iaitu Gedong dalam persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.

Persempadanan semula itu menyaksikan tambahan 11 kerusi baharu, menjadikan 82 kerusi akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri.

Adenan bagaimanapun tidak mengumumkan calon BN bagi kerusi Simunjan.-Bernama

Tiada ulasan: