Ahad, 24 April 2016

PRN Sarawak: Jagdeep pula disekat masuk

 
Sekatan berkenaan merupakan isyarat jelas bahawa Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem seorang penakut untuk membawa demokrasi yang sihat.


jagdeep


PETALING JAYA: Menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo menjadi individu terbaru dihalang masuk ke negeri tersebut.

Beliau yang kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Sarawak itu juga mendakwa sekatan berkenaan merupakan isyarat jelas bahawa Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem seorang penakut untuk membawa demokrasi yang sihat.

“Saya amat kecewa selepas dinafi memasuki Kuching, Sarawak oleh Jabatan Imigresen, semasa tiba di sini pada jam 9 pagi ini. Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia dan saya seorang warganegara Malaysia, dan secara undang-undang dan perlembagaan, saya mempunyai hak untuk masuk ke Sarawak.

“Penafian kemasukan saya dan lain-lain individu sebelum ini dalam tempoh pilihan raya Sarawak jelas menunjukkan bagaimana sistem ini tidak demokratik. Tetapi yang lebih penting, ia isyarat bahawa kerajaan negeri Sarawak yang diketuai oleh Adenan takut menuju ke arah demokrasi yang sihat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja, Jagdeep turut menggesa supaya diberi penjelasan sebab dihalang masuk ke negeri Sarawak dan bukan sekadar alasan ‘saya hanya menjalankan arahan Pihak Berkuasa Negeri’ sahaja.

“Pegawai imigresen, Cik Goh memberitahu yang dia hanya melaksanakan arahan kerajaan negeri. (Saya hanya melaksanakan arahan Pihak Berkuasa Negeri) bila saya tanya sebab dihalang.

“Apabila saya tanya dia di bawah peruntukan undang-undang apa, dia (pegawai imigresen) menyatakan tidak dapat memberi sebarang jawapan dan menyatakan bahawa beliau hanya melaksanakan arahan kerajaan,” ujarnya.

Tiada ulasan: