Khamis, 14 April 2016

PRN Sarawak 7 Mei, penamaan calon 25 April

 BERNAMA  Sarawak akan mengadakan PRN ke-11 pada 7 Mei depan.Sarawak akan mengadakan PRN ke-11 pada 7 Mei depan.Pilihan raya negeri Sarawak ke- 11 akan diadakan pada 7 Mei dan hari penamaan calon pada 25 April 2016.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh itu selepas mengadakan mesyuarat khas hari ini berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 11 April lalu.

"Dengan ini SPR mengumumkan 14 April sebagai tarikh keluar writ iaitu hari ini, 15 April tarikh notis pilihan raya, 25 April hari penamaan calon, dan 7 Mei sebagai tarikh pengundian," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Katanya pilihan raya negeri (PRN-11)akan menggunakan senarai daftar pemilih induk 2015 yang telah dikemas kini sehingga 10 April 2016.

PRN-11 diadakan selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan dengan perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud setelah dirujuk Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Mohd Hashim berkata 1,879 buah premis akan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi 2,959 saluran/tempat mengundi dan seramai 20,811 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini.

Beliau berkata SPR bersetuju melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan pilihan raya di 82 kerusi DUN, di samping menubuhkan Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya khusus bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

"Pilihan raya ini dianggar memerlukan belanjawan sebanyak RM135.6 juta," katanya.

Mohd Hashim berkata SPR juga melantik pemerhati tempatan untuk menjalankan perhatian perjalanan proses PRN bermula daripada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

Beliau berkata para pemerhati itu dilantik dari kalangan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan mereka dibenarkan membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi.

"Pemerhati rasmi yang dilantik akan diberikan pas pemerhati, baju dan topi yang perlu dipakai sepanjang membuat pemerhatian itu.

"Dalam hal ini, SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu lain selain yang dilantik oleh SPR untuk memantau dan memerhati proses PRN Ke-11," katanya.

Apabila ditanya mengenai penentuan tarikh-tarikh penting itu, Mohd Hashim berkata pelbagai aspek diambil kira termasuk penggunaan premis dan juga 'hari-hari besar' di Sarawak supaya ia tidak bertindih.

Beliau berkata banyak tarikh-tarikh utama PRN disebarkan media namun ia hanya sekadar ramalan penganalisis politik.

Tiada ulasan: