Jumaat, 8 April 2016

PRN: DHPP bagi tumpuan calon bukan Islam

Dr B Chandran


KUALA TERENGGANU – Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Terengganu akan memberi sokongan kepada calon bukan Islam yang diketengahkan Pas sepanjang kempen PRN Sarawak ke-11.

Pengerusinya, Dr B Chandran berkata, tindakan Pas menurunkan calon bukan Islam bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada sayap parti itu tetapi benar-benar menunjukkan pendekatan selari dengan slogan ‘Pas For All’ atau Pas untuk semua.

Menurutnya, ia juga menunjukkan bahawa Pas menyerahkan peranan yang pernah diambil oleh DAP ketika menjalinkan kerjasama dengan Pas sebelum ini.

“Pas telah mengotakan janjinya dan calon bukan Islam diberi peluang untuk sokong Pas dalam usaha tegakkan Islam.

“Sebelum ini DAP banyak calon-calon bukan Islam dan kita menggantikan tempat DAP. Ini juga akan memberi ruang kepada kita untuk menunjukkan kelebihan Pas yang mempunyai pentadbiran berasaskan agama. Itu kelebihan kita,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Pas sebelum ini mengesahkan bahawa pihaknya buat julung kalinya meletakkan seorang calon bukan Islam daripada 11 calon Pas yang akan bertanding pada PRN Sarawak ke-11.

Clement Bayang, 59, yang juga Ketua DHPP Sarawak berbangsa Iban merupakan calon bukan Islam diketengahkan Pas di Dun Kakus.

Sementara itu, Chandran memberitahu bahawa DHPP di peringkat Pusat telah pun ke Sarawak sebelum ini untuk melihat keadaan dan situasi di sana serta meninjau keperluan untuk membantu Pas di sana.

Apa yang penting katanya, DHPP akan membantu sebaik mungkin calon bukan Islam untuk memastikan kemenangan calon Pas di kawasan yang telah ditentukan.

Jelasnya, sama ada menang atau kalah, pihaknya enggan memberi fokus utama tetapi akan memberi tumpuan yang tinggi terhadap gerak usaha ke arah kemenangan.

“Kita buat yang terbaik walaupun kita tahu pengaruh BN masih kuat. Bagi kita, keputusan sama ada menang atau kalah, kita serah pada ALLAH. Apa yang penting kita buat yang terbaik,” katanya.


Tiada ulasan: