Khamis, 7 April 2016

Potong gaji Pandikar 35% – Lip Eng

 
Lim Lip Eng berkata, pemotongan gaji Pandikar itu adalah mesej buat Najib yang beliau benar-benar serius dan mahu cadangan keempat pembaharuan Parlimen diterima Kabinet.



Lim-lip-eng


KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kini perlu bersetuju gajinya dipotong, memandangkan hanya tiga daripada empat cadangan pembaharuan Parlimen diluluskan Kabinet.

Tahun lalu, Pandikar menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri dan beliau hanya bersetuju menarik balik keputusan itu, selepas dijanjikan pembaharuan Parlimen akan dilaksanakan tahun ini.

Susulan itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menggesa Pandikar menunjukkan beliau benar-benar serius untuk mengotakan janjinya dalam melaksanakan pembaharuan Parlimen.

Ini kerana, satu daripada empat cadangan pembaharuan Parlimen itu telah ditolak Kabinet.

“Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang telah bersetuju terhadap empat cadangan pembaharuan Parlimen itu, namun hanya tiga diterima.

“Pertama, penubuhan Dewan kedua (atau) satu Parlimen mini. Kedua, tambahan 30 minit diberikan kepada menteri-menteri bagi menjawab soalan-soalan kami dan ketiga, pendekkan tempoh penyerahan soalan wakil rakyat dari 14 hari kepada 10 hari.

“Tetapi, cadangan paling penting telah ditolak Kabinet, iaitu Jawatankuasa Pemilihan.

“Bagi saya, ini paling penting (kerana) sebelum rang undang-undang boleh dibentangkan di Parlimen, akan ada Jawatankuasa Pemilihan yang dianggotai (wakil rakyat) BN dan pembangkang untuk bincang dan teliti rang undang-undang itu,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, Lip Eng berkata, Pandikar perlu menunjukkan kepada Najib yang beliau benar-benar serius mahu melaksanakan pembaharuan Parlimen, melalui potongan gaji sebanyak 35 peratus.

“Bagi saya, beliau (Pandikar) sekadar Speaker ‘cari makan’. Cium tangan Najib dan kata ‘thank you’.
“Beliau kata akan letak jawatan, jika tiada pembaharuan (dilakukan) pada sesi pertama tahun ini.

“Jika beliau enggan meletak jawatan, sekurang-kurangnya potong gaji sebanyak 35 peratus. Bukan untuk memalukan beliau, tetapi untuk menghantar mesej kepada Najib yang beliau benar-benar serius dan mahu cadangan keempat itu diterima,” katanya.

Tiada ulasan: