Sabtu, 16 April 2016

PKR pusat terus bincang dengan kepimpinan Sarawak soal kerusi, kata Shaharuddin

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic


SHAH ALAM: Kepimpinan PKR peringkat pusat akan meneruskan perbincangan dengan kepimpinan di peringkat negeri Sarawak bersabit isu pengagihan kerusi untuk pilihan raya negeri itu, kata Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan hasil pencapaian kepimpinan nasional Pakatan Harapan mengenai pengagihan kerusi untuk pilihan raya berkenaan awal minggu ini.

Shaharuddin berkata, proses perbincangan dan rundingan akan tetap diteruskan selagi mana belum tiba tarikh penamaan calon.

"Cuma ada beberapa perkara dan kawasan bertindih yang mungkin PKR Sarawak merasakan mereka lama berada di situ (kawasan) dan kemudian tidak diberi pertimbangan. Itu isunya.

"Walaupun misal kata kita sudah buat satu kata putus dengan DAP pusat, tapi di peringkat negeri lazimnya selagi tidak sehingga penamaan calon, selagi itulah perbincangan berterusan," katanya ketika dihubungi Antarapos.    

Bagaimanapun, pada masa sama Shaharuddin menegaskan, kepimpinan peringkat negeri perlu menghormati keputusan parti di peringkat pusat selepas perbincangan dimuktamadkan.

"Kita mengamalkan demokrasi. Jadi semua orang bebas untuk menyatakan peringatan mereka. Tapi akhirnya peringkat pusat yang akan buat keputusan walaupun peringkat negeri ada autonomi tersendiri tapi hubungan antara pusat dengan negeri perlu dipertautkan.

"Kita menghormati negeri tapi dalam waktu yang sama negeri juga perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh pusat," katanya.

Terdahulu, Baru menolak keputusan pimpinan Pakatan Harapan pusat dan menegaskan rundingan pakatan itu bersabit isu berkenaan telah menjurus ke arah yang bertentangan dengan mandat PKR Sarawak.

Justeru keputusan diambil untuk memulau hasil rundingan itu, kata Baru yang juga ADUN Ba'kelalan itu.

Baru berkata PKR Sarawak mempunyai kuasa veto untuk menolak keputusan pimpinan nasional jika ia tidak selari dengan kehendak di peringkat negeri.


Tiada ulasan: