Selasa, 5 April 2016

Pesakit mental larikan bas, polis kejar 9 KM

Pesakit mental larikan bas, polis kejar 9 KM
Bas yang dilarikan remaja 19 tahun dipercayai mengalami masalah mental.
 

BAHAU - Tiga pasukan peronda Polis terpaksa mengejar sebuah bas sekolah yang dilarikan seorang remaja dipercayai mengalami masalah mental sejauh 9 kilometer dari Bandar Seri Jempol hingga bahu Jalan utama Taman Satelite 2,awal pagi tadi.

Ketua polis daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, pada awalnya remaja itu ditahan bersama basnya susulan terbabit dalam kemalangan dengan dua buah kenderaan berdekatan di simpang di Felda Raja Alias Empat kira-kira jam 10.30 malam semalam.

"Dia bersama kenderaannya dibawa ke IPD Jempol untuk siasatan lanjut dan mendapati cukai jalan, pelindung insurans tamat tempoh selain tidak mempunyai lesen memandu.

"Kemudian kira-kira jam 1 pagi tadi pemilik bas yang merupakan bapa remaja itu datang ke balai polis Bandar Seri Jempol untuk mengambil anaknya dan bas tersebut.

"Bapa remaja itu bagaimana pun mendakwa bas tersebut dipandu anaknya tanpa kebenarannya pada hari kejadian selain mengakui anaknya itu mempunyai masalah mental.

"Setibanya di bas, anaknya itu tiba-tiba meluru masuk dalam bas lalu melarikan kenderaan itu menghala ke pekan Bahau,"katanya selepas mengesahkan laporan, hari ini.

Noorzainy berkata, setibanya di lampu isyarat berdekatan Pasaraya Tesco, bas tersebut berjaya dihentikan selepas dua buah kenderaan peronda polis menghalang laluannya.

"Bagaimana pun remaja itu enggan turun dari bas dan sekali lagi memecut kenderaannya lalu melanggar kenderaan polis yang ada di hadapannya.

"Namun bas tersebut akhirnya berjaya dikepung dekat bahu jalan Taman Satelite 2, Bahau. Tetapi remaja itu tetap enggan keluar daripada bas itu dengan mengunci pintu dari dalam walaupun telah dipujuk oleh ahli keluarganya," katanya.

Noorzainy berkata, keengganan remaja ini memberi kerjasama menyebabkan berlakunya pergelutan antara ahli keluarganya namun berjaya dileraikan oleh pihak polis.

"Remaja berkenaan telah ditahan dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban diiringi keluarganya untuk rawatan dan pengesahan sakit mental.

"Kes ini masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tiada ulasan: