Sabtu, 23 April 2016

PERS1M persoal sistem baru naik taraf servis teksi

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) hari ini mempersoalkan sistem baru untuk menaik taraf perkhidmatan teksi yang akan dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) tidak lama lagi.
 
Menurut Timbalan Pengerusinya, Kamarudin Mohd Hussain pihak persatuan teksi hairan dengan idea pelaksanaan itu yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang tiada penglibatan daripada persatuan teksi di negara ini.
 
Malah mereka turut tidak dipanggil untuk memberikan sebarang pandangan atau pendapat mengenai pelaksanaan itu. 
 
"Mereka ini (SPAD) nak lakukan transformasi (kepada industri teksi) ambik idea daripada mana? Adakah daripada pihak berkepentingan dalam industri atau pihak yang mencari keuntungan. 
 
"Setakat hari ini PERS1M atau persatuan teksi lain tidka dipanggil untuk membincangkan formula ini, (kami hairan) idea ini daripada mana?," soal Kamaruddin.
 
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan memberitahu bahawa kerajaan akan mengumumkan satu bentuk transformasi perkhidmatan teksi, termasuk pengenalan sistem tunggal baru menerusi online dan aplikasi telefon mudah alih yang lebih bersepadu.
 
Ia bagi membolehkan perkhidmatan teksi negara ditambah baik selain meningkatkan imej perkhidmatan berkenaan dalam kalangan masyarakat.
 
Perkara itu kini giat diperincikan oleh Kementerian Pengangkutan dan SPAD bagi memperkenalkan sistem baharu serta butiran transformasi berkenaan sebelum diumumkan.
 
Terbuka terima pembaharuan
 
Bagaimanapun, beliau yang mewakili Pemandu Teksi 1Malaysia menerima baik langkah kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan teksi yang dibelenggu pelbagai masalah dengan kewujudan aplikasi dalam talian seperti Uber dan Grabcar.
 
"Kita (PERS1M) menyambut baik segala apa sahaja perubahan dan penambahbaikan cuma sebelum kami melalui transformasi yang akan dilakukan kerajaan.
 
"SPAD seharusnya ditransformasikan kerana selama ini setelah sekian lama ditubuhkan, SPAD tidak mampu mewujudkan sebarang program yang bagus untuk industri teksi, semua program yang dibuat rosak," katanya.
 
Pelaksanaan itu kata Kamarudin perlulah selari dengan kehendak pemandu teksi yang berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan teksi dari semasa ke semasa demi kepuasan dan keselesaan penumpang.
 
"Pemandu teksi bersedia untuk menyahut seruan kerajaan cuma masalah pokok yang dihadapi pemandu teksi itu harus diselesaikan, jangan kita nak buat satu program yang bagus tetapi masalah yang menghalang pemandu teksi itu tidak diselesaikan terlebih dahulu," katanya.
 
Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan membentangkan penyelesaian dan dasar yang adil serta saksama membabitkan pemandu teksi dan perkhidmatan pemandu kereta Uber serta Grabcar di Malaysia dalam tempoh terdekat.
 
Perkara itu diumumkan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
Isu perkhidmatan teski kembali mendapat perhatian berikutan sekumpulan pemandu teksi yang melakukan mogok di Bukit Bintang yang membantah perkhidmatan Uber dan Grabcar yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.
 
 

Tiada ulasan: