Isnin, 18 April 2016

Perdagangan pertanian Malaysia-Denmark bakal ditingkatkan

Bernama 
 
Perdagangan pertanian Malaysia-Denmark bakal ditingkatkan
Malaysia akan menandatangani memorandum persefahaman kerjasama dua hala dengan Denmark.
 
 
KUALA LUMPUR: Malaysia berminat untuk meningkatkan lagi perdagangan pertanian dua hala dengan Denmark selepas nilainya naik kepada RM480 juta pada tahun lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata terdapat banyak peluang yang boleh dieksploit bagi melonjakkan lagi eksport dan imbangan perdagangan pertanian di antara Malaysia dengan Denmark.

Katanya, Malaysia akan menandatangani memorandum persefahaman kerjasama dua hala dengan Denmark.

Kedua-dua negara telah bersetuju pada dasarnya untuk bekerjasama dalam perikanan, penternakan, penyelidikan dan pembangunan pertanian, katanya dalam satu kenyataan berhubung dengan mesyuarat dua hala dengan Menteri Alam Sekitar dan Makanan Denmark, Esben Lunde Larsen di sini Jumaat.

"Denmark telah bersetuju untuk berkongsi kepakaran bagi membantu membangunkan industri tenusu kami dengan tujuan untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada susu import.

"Malaysia juga mahu meneroka potensi produk halal dengan Denmark seperti makanan sejuk beku, makanan ringan, sos, herba yang telah diproses termasuk kraftangan berasaskan pertanian," kata Ahmad Shabery.

Larsen, yang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di sini, berkata memandangkan Denmark dan Malaysia merupakan negara maritim, terdapat banyak bidang yang mereka boleh bekerjasama.
"Teknologi baharu yang diperkenalkan kini boleh diguna bagi meningkatkan sektor perniagaan tani dan Malaysia harus mengambil kesempatan daripada itu," katanya. 
 
 

Tiada ulasan: