Ahad, 3 April 2016

Penoreh getah cedera disondol babi hutan

Astro Awani 
 
Penoreh getah cedera disondol babi hutan
Keadaan tangan mangsa yang cedera setelah disondol dan digigit seekor babi hutan. - Foto Astro AWANI
 
ALOR SETAR: Seorang penoreh getah di Felda Lubuk Merbau, Pendang mengalami kecederaan teruk di bahagian lengan selepas disondol seekor babi hutan.

Zuraini Fadhil, 40, disondol haiwan liar itu ketika menoreh getah bersama suaminya sekitar pukul 9.45 pagi Sabtu.

"Babi hutan itu dari atas bukit kemudian ia meluru ke arah saya.

"Kemudian saya lari, tidak jauh pun, tetapi saya jatuh tersembam dan babi hutan itu sondol dan gigit saya," kata Zuraini semasa ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, hari ini.

Menceritakan dengan lebih lanjut detik cemas itu, beliau mengakui hanya mampu menendang namun babi hutan itu tetap bertindak agresif.

Tambah Zuraini, babi hutan itu melarikan diri selepas suaminya tiba berhampiran lokasi kejadian.

Mangsa masih menerima rawatan di hospital kerana luka yang dialami di bahagian lengan.
Ini merupakan kejadian pertama membabitkan serangan babi hutan di kawasan kebun getah di Felda Lubuk Merbau. 
 
 

Tiada ulasan: