Khamis, 21 April 2016

Pengarah jabatan kerajaan disiasat SPRM

Pengarah jabatan kerajaan disiasat SPRM
Pengarah itu menutup mukanya dengan beg setelah menyedari kehadiran petugas media di pekarangan pejabat SPRM, hari ini. - Foto Sinar Harian


ALOR SETAR - Seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri dibawa ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, hari ini.

Pegawai itu yang ditahan sejak petang semalam tiba di pekarangan pejabat kira-kira jam 9.45 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Menyedari kehadiran petugas media, beliau menutup mukanya dengan sebuah beg bagi mengelak wajahnya dirakamkan, sebelum dibawa masuk ke sebuah bilik untuk disoal siasat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan kehadiran lelaki itu di pejabat SPRM untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan isu pemberian tender di jabatan berkenaan bagi tahun 2014 hingga 2016.

Lelaki itu disyaki terlibat rasuah dalam pemberian beberapa tender projek di jabatan itu dengan anggaran kos berjumlah jutaan ringgit.

Sebelum ini, seorang individu dari jabatan berkaitan yang enggan dikenali mendakwa, kebanyakan tender projek dipercayai diluluskan pengarah berkenaan secara ‘dalam selimut’ dan tidak dibuat melalui tender terbuka atau sebutan harga.

Insiden itu dipercayai berlarutan sejak lebih lima tahun lalu dengan hanya memberi projek kepada beberapa kontraktor tertentu.

Suspek diarah bertukar ke agensi lain, namun dikatakan membuat rayuan untuk kekal sebagai pengarah di jabatan berkenaan hingga hari ini.

Keengganannya bertukar ke agensi lain menimbulkan pelbagai persoalan kalangan kakitangan jabatan seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan.


Tiada ulasan: