Rabu, 13 April 2016

Penamaan calon pilihan raya S'wak 25 April?

Bede Hong 




Adakah penamaan calon bagi pilihan raya negeri Sarawak ditetapkan pada 25 April ini?

Persoalan itu timbul setelah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dilihat 'tersasul” tarikh itu dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Ketika ditanya sama ada senarai calon BN akan dimuktamadkan pada hujung minggu ini, Adenan menjawab “sebelum hari penamaan”.

Ditanya lagi sama ada penamaan calon akan jatuh pada hari itu, beliau menjawab “ya”.

“Dan saya harus beri masa pada mereka (calon BN) masa untuk sediakan dokumen-dokumen. Saya tidak boleh pilih 25 hari bulan, pada hari penamaan calon. Kelam-kabutlah.

“Kita mesti beri mereka sekurang-kurangnya beberapa hari sebelum penamaan calon.”

Ditanya lagi sama ada 25 April ini adalah hari penamaan calon, Adenan menjawab:

“Jika kamu mahu tahu tentang penamaan calon, kamu tanyalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Saya tidak tahu,” katanya.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas esok.

Suruhanjaya itu dijangka akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak esok.

Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menafikan SPR berpakat dengan kerajaan.

Januari lalu, selepas pertemuan santai dengan pegawai-pegawai SPR, Adenan juga berkata beliau tidak menetapkan tarikh pilihan raya negeri.

Tiada ulasan: