Selasa, 12 April 2016

Pemuda SPDP minta KM peruntuk kerusi Mulu bagi ketuanya

MALAYSIAKINI




Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) meminta Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem memperuntukkan kerusi Mulu kepada ketuanya, Robert Ayu pada pilihan raya negeri akan datang.

Naib pengerusinya David Yeo berkata semua sayap pemuda parti komponen Barisan Nasional (BN) lain diberi peluang menjadi calon pada pilihan raya itu.

“Robert Ayu memenuhi kriteria sebagai calon bagi Mulu. Beliau seorang Kelabit dari Ulung Palang, Bario dan menjadi peguam sejak 1992 serta berkhidmat sebagai anggota Majlis Bandaraya Miri.

“Beliau juga memegang jawatan penting dalam persatuan Kelabit seperti Rurum Kelabit Sarawak sebagai naib presiden, Kelab Sukan Highlanders sebagai penaung dan anggota jawatankuasa FORUM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yeo mendakwa, Robert Ayu juga diterima baik oleh Orang Ulu dan Iban ketika beliau mengunjungi mereka dalam program tinjauan mesra di kawasan itu dan paling penting, beliau boleh mendapatkan kemenangan untuk BN di Mulu.

Sementara itu, bahagian SPDP Ba Kelalan mahu kepimpinan tertinggi BN memberi perhatian terhadap permintaan mereka supaya memilih satu daripada tiga nama yang dikemukakan sebagai calon.

Tiga nama itu ialah bekas anggota dewan undangan negeri dua penggal Datuk Nelson Balang Rining, Barry Baru Sigar dan Sam Laya.

“Walaupun kepimpinan tertinggi BN tidak dapat memenuhi permintaan kami, kami tetap akan menyokong BN, tetapi kami tidak boleh berjanji atau memberi jaminan bahawa para pemilih akan mematuhi nasihat bahagian kami kerana kami mempunyai 3,000 anggota dan lebih 1,000 orang yang memohon menjadi anggota," kata naib pengerusi bahagian itu, Alfred Padan Tai dalam satu kenyataan.

Dalam pilihan raya negeri 2011, Baru Bian daripada PKR mengalahkan calon SPDP Willie Leow untuk menyandang kerusi itu.

Nelson, yang merupakan timbalan presiden SPDP dan pengerusi SPDP Bahagian Ba Kelalan pula mengalahkan Baru dalam pilihan raya kecil 2004 dan sekali lagi pada pilihan raya negeri 2006.
Bagaimanapun, beliau tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri lepas.

Ketua Menteri belum mengumumkan calon bagi kerusi Mulu dan Ba Kelalan.- Bernama


Tiada ulasan: