Isnin, 25 April 2016

Pemuda AMANAH Perak harap polis tegas isu kuil di Ipoh

MALAYSIAKINI




Kejadian seorang individu merosakkan kuil tidak patut berlaku dan orang ramai diminta berhenti menyebarkan gambar berkaitan di Internet.

Simpati dan kesal dengan insiden itu, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak menegaskan Islam menolak keras provokasi perkauman atau agama dengan niat menimbulkan ketegangan di kalangan masyarakat majmuk.

“Kami menegaskan bahawa insiden seumpama ini tidak seharusnya disebar luaskan kepada umum kerana dibimbangi boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.

“Jika maklumat yang disebarkan itu tidak tepat dan benar (pula)dan sudah pasti ia akan menggangu emosi ahli keluarga suspek tersebut,” kata timbalan ketuanya Mohd Fitri Asmuni.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini turut menggesa masyarakat India di Ipoh bertenang dan tidak mencetuskan perbalahan selepas rumah ibadat mereka dirosakkan semalam.

Khalid berkata,ini kerana suspek seorang pesakit mental yang kini telah dibawa ke Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan untuk rawatan.

Seorang lelaki semalam dilaporkan memecahkan patung-patung yang berada dalam rumah ibadat tersebut.
Dalam kenyataannya hari ini, Fitri menasihatkan semua pihak bertenang dan mengelak spekulasi negatif serta menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

Sementara itu, beliau juga berkata, pasukan keselamatan juga perlu tegas dan konsisten mencegah sebarang bentuk extremisme atas nama perkauman dan agama.

Katanya, jika tidak dibendung, ia akan menjadi barah dalam masyarakat dan akan membantutkan impian rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian dan saling hormat-menghormati.

Tiada ulasan: