Khamis, 14 April 2016

Pemimpin PKR ingatkan Tun M berhati-hati kritik Anwar

Oleh Shuhaniza Said
  Post Pic


SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad disarankan agar menghentikan komen kritikal terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan bekas Perdana Menteri itu kini 'sekapal' dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menggerakkan Deklarasi Rakyat.

Ketua Cabang PKR Balik Pulau, Datuk Halim Hussein berkata, tindakan memburukkan Anwar hanya akan memperlihatkan 'percanggahan' dimana ia tidak membantu deklarasi yang digerakkan sejak beberapa bulan lalu itu.

"Kita sepatutnya positif, kita berkongsi satu gerakan bersama untuk memperbetulkan (sistem negara), sama-sama setuju bahawa kerajaan sekarang ada banyak kelemahan.

"Kerjasama dan hubungan ini baik, cuma Tun Mahathir kena hentikan (komen negatif), kita kena melihat kepada perkara yang positif, jangan kita terus kritikal sesama kita," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.

Terdahulu, Mahathir yang ditembubual akhbar The Australian mendakwa Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri yang seterusnya.

Malah Mahathir juga berpegang teguh dengan keputusannya untuk memecat Anwar sebagai timbalannya pada tahun 1998 dengan mendakwa Anwar sebagai 'tidak bermoral'.

Tindakan Mahathir itu menyebabkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa kesalnya terhadap bekas perdana menteri itu, apabila terus melakukan serangan ke atas suaminya yang juga Ketua Umum PKR.

Mengulas lanjut, Halim berkata, Mahathir tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana Anwar sendiri 'memaafkan' perbuatan lampau pemimpin itu terhadapnya dan sanggup melupakan sejarah lama demi sama-sama menggerakkan usaha ke arah perubahan pentadbiran negara.

"Kita tak serang Tun Mahathir pun. Pencetus semua ini pada zaman beliau. Kalau kita nak serang beliau, sistem kehakiman, polis, semua ini (rosak) pada zaman Tun Mahathir. Tapi kalau beliau sama-sama mahu perbetulkan, kita setuju tapi jangan hanya untuk kepentingan peribadinya saja.

"Kita setuju dengan beliau (Mahathir) itu pun satu pengorbanan yang kita buat," katanya sambil menegaskan, agenda Deklarasi Rakyat bukan sekadar menukar Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Perdana Menteri, tetapi bagi memperbetulkan sistem yang ada dalam negara ini.

Justeru katanya, Mahathir perlu menyedari hakikat bahawa usaha ke arah perubahan tersebut memerlukan kerjasama di antara satu sama lain dan penting untuk 'rakan kerjasama' mempunyai suara yang senada.  

  
"Kalau beliau seorang, mungkin (tak berjaya). Beliau menumpang atas kapal ini. Bila menumpang atas kapal ini, kena satu suara," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada PKR akan meneruskan kerjasama dengan Mahathir, ujar Halim, buat masa ini parti berpegang dengan pendirian Anwar yang menyokong kerjasama pembangkang bersama mahathir demi misi Selamatkan Malaysia.

"Momentum kita sudah gerakkan. Jadi kalau dia (terus) mahu buat begitu, kita tinggalkan beliau," ujarnya



Tiada ulasan: