Jumaat, 22 April 2016

Pemilik Restoran Hakim jawab dakwaan bukan Islam

Pemilik Restoran Hakim jawab dakwaan bukan Islam
Hakimsa (dua, kanan) bersama Ketua Pemuda Kongres India Muslim Malaysia, Harisrajudin Alaudin (dua, kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat semalam.


SHAH ALAM - "Sedih bila agama yang saya anuti sejak lahir dipersoalkan". Demikian luah pemilik Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim pada sidang media bagi menafikan khabar angin yang mengatakan pemilik restoran itu bukan beragama Islam.

Katanya, sejak membuka restoran Hakim di Shah Alam, 18 tahun lalu, tohmahan ini merupakan yang pertama menimpanya.

"Tohmahan dan fitnah ini kali pertama saya hadapi. Ia sangat teruk dan menyedihkan.

"Saya tidak tahu apa salah saya. Viral ini tidak sepatutnya berlaku," katanya pada sidang media, hari ini.

Hakimsa berkata, beliau juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 7, semalam.

"Saya berharap, individu yang menyebarkan fitnah ini akan menerima hukuman yang setimpal," katanya.

Hakimsa yang berasal dari India telah berhijrah ke Malaysia sejak 1964 lagi kerana mengikuti keluarganya yang berpindah ke sini.

Mereka sekeluarga pada mulanya menetap di Pulau Pinang sebelum membuka dua buah Restoren Hakim di Shah Alam.


Tiada ulasan: