Jumaat, 8 April 2016

Pembelaan buat Arul Kanda

Hasmi Hashim

 


ULASAN Orang baca laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pasal 1MDB. Saya baca satu-satu muka surat. Dari sana, saya cari Arul Kanda.

Dia penting sebab ramai orang, terutama ahli politik Pakatan Harapan yang petik nama Arul itu dan ini. Dia cuba dipersalahkan dalam banyak hal. Sehingga di mata orang biasa, terbayang seolah-olah Arul total bersalah. Seolah-olah dia yang salurkan duit RM2.6 bilion ke dalam akaun AmBank PM Najib Razak.

Minggu lalu Arul bayangkan dia akan tinggalkan 1MDB. Sejurus kenyataan itu, ada yang beri amaran mereka tidak akan lepaskan Arul. Tidak akan sama sekali! Arul, bagi mereka tak boleh lari daripada masalah yang menimpa 1MDB. Segala bayangan hitam yang ditangkup ke atas Arul, membuatkan mata keadilan jadi kelabu untuk kita menilai Arul secara objektif dan saksama.

Arul, bahkan dicabar untuk berdebat. Arul tetapkan syarat agar politikus yang mencabarnya itu meletakkan jawatan dahulu di dalam PAC. Logiknya mudah. Bagi Arul, bagaimana dia boleh berdebat dengan seorang yang di tempat lain menjadi ‘hakim’ kepadanya dan 1MDB? Nota: sang pencabar adalah juga anggota PAC.

Si pencabar yang juga anggota parlimen di Selangor itu menyatakan Arul tidak harus letak apa-apa syarat untuk debat. Dia kekal mencabar! Dalam satu sidang media yang lain, Arul sebutkan, baiklah! Dia OK.

Setuju untuk berdebat. Setuju tanpa apa-apa syarat walaupun dia jelaskan mengapa dia meletakkan syarat awal berkenaan.

Saya tak kenal Arul. Ramai di antara kita tak tahu Arul, nama yang tiba-tiba muncul dan jadi masyhur.

Dalam laporan PAC tunjukan Arul masuk sertai 1MDB pada awal Januari tahun lalu. Jawatan tertinggi iaitu sebagai presiden dan pengarah eksekutif kumpulan. Sebelum itu, 1MDB dipimpin orang lain.

Arul belajar di UK. Pernah bekerja di UK dan Timur Tengah sebelum dipanggil balik ke Malaysia untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan 1MDB.

Makanya, ternyata 1MDB jelas ada masalah. Bukan hanya masalah hutang, tetapi bagi saya lebih dasar daripada itu adalah masalah pengurusan, hala tuju dan objektif syarikat itu sendiri.

1MDB asalnya adalah sebuah syarikat di bawah Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Terengganu. Nama syarikat itu Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).

Menurut laporan PAC, TIA ditubuhkan dengan perkenan sultan Terengganu. Tujuannya untuk “state sovereign wealth fund” iaitu dana kekayaan negara demi kebaikkan negeri itu sendiri. Tidak ada kena mengena dengan yang lain, dengan kerajaan yang lain, termasuk Putrajaya. TIA akan urus royalti minyak dari Petronas.

Apabila Najib naik jadi PM, Putrajaya mengambil alih TIA.

Di sela-sela laporan 

Mengubahnya menjadi 1MDB. Mengubahnya ketika ada beberapa perjanjian yang sudah dimulakan lebih awal, iaitu oleh TIA itu sedang berjalan. Waktu itu nama Arul belum muncul. Kalau pun ada cuma nama Jho Low yang dengan nama penuh ditulis sebagai “Encik Low Taek Jho” di dalam laporan PAC pada muka surat 14.

Di situlah masalah bermula. Termasuk dalam soal penerbitan bon. Dalam laporan PAC juga dapat dikesan, period genting dan bercelaru di dalam 1MDB adalah daripada tahun 2009 sehingga 2013. Pelbagai perkara aneh berlaku.

Antaranya adalah perjanjian dengan sebuah syarikat yang dinamakan sebagai PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd, yang hari ini popular disebut sebagai PetroSaudi sahaja. Konon menurut ceritanya, syarikat itu ada hubungan langsung dengan sebuah kerajaan di Timur Tengah dan dengan istana kerajaan berkenaan. Selepas semakkan dibuat, rupa-rupanya tidak ada.

Urus niaga dan perjanjian itu memang celaru. Bahkan meragukan. Juga beberapa urus niaga lain yang tersasar jauh daripada erti sebuah pengurusan dengan urus tadbir yang baik.

Di sela-sela laporan itu, saya masih mencari nama Arul. Nama yang hanya muncul sebagai individu yang dibawa masuk untuk membuat pelan rasionalisasi. Tugas utamanya dua. Satu, mencari punca masalah kewangan 1MDB. Kedua, mengembalikan 1MDB kepada objektif asal dan fokus.

Janakuasa elektrik adalah antara perniagaan yang dijalankan 1MDB. Ada di dalam dan luar negara.

Paling hangat tentulah yang melibatkan Edra, yang sebahagian sahamnya dijual kepada sebuah syarikat dari China. Rasional penjualan itu telah dijelaskan Arul. Ada lebih 700 kenyataan media yang dikeluarkan oleh 1MDB sejak Arul sertai 1MDB.

Baginya, itu langkah terbaik kerana apabila menjual sebahagian saham, 1MDB (baca: negara) tetap menjadi tuan punya perniagaan berkenaan. Arul mahu mengelakkan Edra terlepas sama sekali ke tangan pihak luar sekiranya janakuasa elektrik itu dijual bulat-bulat kepada syarikat asing.

Dalam masa sama, 1MDB perlu perlu membayar hutang dan kadar bunga yang besar melebihi RM2 bilion setahun.

Begitu juga dengan projek Tun Razak Exchange (TRX) dan projek Bandar Malaysia. Sebelum kedua tanah di TRX dan Bandar Malaysia boleh dijual dengan harga tinggi, terlebih dahulu sarana asas perlu dibangunkan.

Antara perjanjian lebih awal ialah 1MDB perlu siapkan enam kem tentera dan dua balai polis di beberapa tempat seluruh negara sebelum mereka berhak untuk membangunkan Lapangan Terbang Sungai Besi menjadi sebuah pembangunan baru.

Kelemahan Arul, mungkin dia tak merasakan dilema itu. Dilema di mana sebuah lapangan terbang yang menjadi kawasan lapang dan ‘hijau’ untuk mata memandang, yang penuh dengan sejarahnya sendiri, akan hilang dari pandangan beberapa tahun sahaja lagi.

Satu misi, selamatkan 1MDB 

Hilang apabila idea pentadbiran PM Najib melihat tapak itu sebagai kawasan emas di pinggir kota Kuala Lumpur. Sejarah tidak ada apa-apa nilai di mata pentadbiran PM Najib.

Model pembangunan seperti Mid Valley—atau lebih dari itu—ingin dibangunkan.

Bagi saya, yang lebih saya tertanya-tanya bukan model perniagaan 1MDB, tetapi bagaimana tanah kawasan seperti Mid Valley itu boleh terlepas kepada syarikat swasta yang sama sekali tidak dikuasai oleh anak-anak syarikat kerajaan? Itu siapa punya kerja? Siapakah yang melepaskannya?

Saya bukan Arul dan Arul bukan kita yang melihat setiap kawasan dengan penuh kenangan. Dia mungkin tidak punya sentimen dan melihat kepentingan bahawa Lapangan Terbang Sungai Besi wajib dipertahankan dan lebih berharga daripada segala apa pun pembangunan baru di atasnya.

Pembangunan kota Kuala Lumpur, atau di sekitarnya perlu lebih kreatif daripada hanya memilih sebuah kawasan lapang, menandakan di atas peta, membersihkan, membuat jalan raya dan kemudahan asas lain, lalu dijual!

Itu contoh pembangunan yang lapuk, tipikal dan sama sekali tidak kreatif. Ini bukan tahun 1970-an. Ini 2016! Menjual dan ‘menggadai’ tanah secara besar-besaran adalah perangai pemerintahan yang kolot.

Pembangunan insfrastruktur, bangunan dan gedung walaupun boleh menonjak pertumbuhan, ia tetap ada masalahnya. Pembangunan cara itu hanya memberi kesan lonjakan untuk tempoh singkat. Bukan untuk tempoh masa panjang.

Kalau pun ada ‘salahnya’ sebagai seorang Arul ialah semangat patriotismenya yang berbeza dari mata orang bawah seperti saya. Dia seorang orang korporat. Kerjanya memang begitu. Atau dalam hatinya mungkin ada merasakan bahawa tidak semua idea pentadbiran PM Najib juga boleh dipakai.

Tetapi dia bukan dilantik untuk tujuan itu. Bukan! Pelantikannya dengan satu misi, selamatkan 1MDB - sebuah projek mega PM Najib yang sedang menuju gaung kegagalan. PM Najib bertanggungjawab atas segalanya.

Di luar pejabat 1MDB, ada matlamat lain, iaitu “Selamatkan Malaysia”! Atas nama kemajuan apapun; nasib rakyat, nilai sejarah dan bumi hijau tidak boleh dikorbankan sama sekali.

Kepada Arul - sebagai anggota biasa sebuah parti oposisi saya mohon maaf kalau ada yang keterlaluan kata dan perbuatan terhadap Tuan selama ini. Saya yakin, seperti ramai rakyat Malaysia, Tuan turut sayangkan Malaysia. Dan Tuan, tetap ada peranannya.

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalantelawi.


Tiada ulasan: