Khamis, 7 April 2016

Pembangkang berarak di Bukit Aman gesa pembebasan Rafizi

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pembangkang hari ini mendesak Rafizi Ramli segera dibebaskan selepas Ahli Parlimen Pandan itu ditahan atas kesalahan mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia.
 
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata memo menuntut pembebasan itu diserahkan pada pagi tadi dan diterima oleh  pegawai yang bertugas di pejabat Ketua Polis Negara USP Rizal Abdul Rahman Sidik.
 
Kira-kira 50 peserta perarakan, yang terdiri daripada ahli-ahli parlimen, wakil daripada badan bukan kerajaan ( NGO), ahli-ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) dan bekas-bekas ahli Parlimen berada di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekitar jam 9 pagi tadi.
 
Antara yang kelihatan di perarakan tersebut adalah Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Foke; Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad , termasuk Johari.
 
Terdahulu Rafizi ditahan jam 6.05 petang Selasa lalu sejurus keluar dari bangunan Parlimen mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana membuat kenyataan media berhubung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan mengaitkannya dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
 
Rafizi kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam.
 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mempertahankan tindakan pihaknya menahan Rafizi di perkarangan Parlimen petang kelmarin kerana ianya mengikut undang-undang.
 
Tegasnya terpulang kepada pemimpin politik untuk bercakap apa sahaja sesuka hati mereka mengenai tindakan itu.
 
 

Tiada ulasan: