Isnin, 25 April 2016

Pelajar tingkatan tiga pula dipatuk ular

 
Mangsa dipercayai dipatuk ular ketika melalui kawasan gelap berhampiran bengkel sekolah berkenaan untuk pulang ke asrama.


Khairul-Rusidy-Kamaruddin-,ular


PETALING JAYA: Seorang lagi pelajar menjadi mangsa dipatuk ular ketika berjalan pulang ke asrama sekolah di Sungai Gadut di Negeri Sembilan selepas menunaikan solat Isyak, malam kelmarin.

Menurut laporan Harian Metro, pelajar tingkatan tiga itu, Khairul Rusidy Kamaruddin berasa sakit pada tumit kaki kanan sebelum kakinya membengkak dan mengadu kepada warden asrama.

Sumber menyatakan, mangsa dipercayai dipatuk ular ketika melalui kawasan gelap berhampiran bengkel sekolah berkenaan untuk pulang ke asrama.

“Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) oleh warden terbabit sebelum memaklumkan kepada keluarganya. Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa dipatuk ular berdasarkan kesan patuk pada atas tumit kaki kanan mangsa.

“Mangsa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil. Dia kemudian dibenarkan keluar hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan mengesahkan kejadian dan memaklumkan pelajar terbabit sudah dibenarkan keluar wad dan akan kembali bersekolah Khamis ini.

Sebelum ini dua kes murid sekolah dipatuk ular dilaporkan, insiden pertama yang meragut nyawa murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Datuk Hashim 1, di Pengkalan Chepa dan insiden kedua murid perempuan tahun dua yang dipercayai dipatuk ular, ketika berlari di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong.

Tiada ulasan: