Sabtu, 16 April 2016

Pelajar luah perasaan dapat perhatian MB

SINAR HARIAN


Pelajar luah perasaan dapat perhatian MB


SETIU - Luahan hati seorang pelajar perubatan mengenai kos pengajiannya kepada penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik baru-baru ini mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
  
Beliau berkata, ekoran luahan Siti Hajar Rasid, 21, kerajaan negeri dapat mendengar suara golongan pelajar perubatan yang sehingga kini masih tidak mempunyai banyak peluang untuk menukar status pinjaman mereka kepada biasiswa.

"Pelajar kursus lain boleh menukar status pinjaman mereka kepada biasiswa sekiranya mereka mendapat keputusan cemerlang kelas pertama, namun tidak bagi pelajar perubatan kerana tidak terdapat sebarang kriteria yang membolehkan perkara itu dilaksanakan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mufti pertahan pelajar kena kutuk netizen]
  
"Saya juga ada meminta Yayasan Terengganu untuk buat perbincangan dengan Kementerian Kesihatan sama ada boleh atau tidak pelajar perubatan yang tamat pengajian, balik berkhidmat dengan hospital milik kerajaan negeri.

"Mungkin pelajar-pelajar ini boleh menjalani latihan dalaman di hospital milik kerajaan Terengganu iaitu Kuala Terengganu Specialist, Kuantan Medical Centre, Hospital Kelana Jaya dan Pusat Perubatan I-Heal.
  
"Pelajar perubatan yang cemerlang akan ditawarkan tempat housemanship di hospital-hospital ini dan seterusnya bekerja di situ selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu lebih banyak doktor pakar dilahirkan terutama dalam bidang perbidanan," kata Ahmad Razif.
  
Beliau bertemu dengan Siti Hajar dan ibu bapanya, di sini, hari ini.
  
Dalam pertemuan sejam itu, beliau turut berkongsi hasrat kerajaan dalam membantu golongan pelajar dan memberi penerangan mengenai fungsi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang mengamalkan maqasid syariah dalam pentadbirannya.
  
Sementara itu Siti Hajar yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Islam Malaysia Kampus Kuantan melahirkan rasa syukur dan terharu dengan kesudian Ahmad Razif berjumpa dengannya dan keluarganya.
  
"Saya sedar tindakan saya mengundang kontroversi dan saya bersedia menghadapinya. Saya ucapkan terima kasih kepada menteri besar atas tawaran menjalani latihan dalaman di hospital milik kerajaan negeri," katanya.

Siti Hajar dikecam pelbagai pihak terutama di laman sosial selepas bertanyakan isu PTPTN ketika sesi syarahan umum Dr Zakir di Gong Badak. - Bernama


Tiada ulasan: