BACHOK: Seorang pegawai penyiasat dari cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok cedera selepas dirempuh motosikal yang dipercayai ditunggang pengedar dadah dalam serbuan di Kampung Kolam di sini, Selasa.
Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superitendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, pegawai berkenaan Insp M Devandaran, 31, cedera di bahu dan tangan kiri akibat rempuhan tersebut.
"Beliau bagaimanapun hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Bachok," katanya pada sidang akhbar di IPD Bachok di sini, Rabu.
Abdul Hamid berkata ketika kejadian Devandaran mengetuai sepasukan anggota polis membuat serbuan di kawasan tali air di kampung berkenaan selepas menerima maklumat orang ramai.
"Bagaimanapun kita berjaya menahan suspek yang berumur 35 tahun dan menemui tiga botol kecil berisi serbuk putih disyaki heroin dan satu paket plastik cerah berisi 10 pil berwarna merah jambu disyaki methamphetamine bernilai RM5,500 di dalam raga dan di bawah tempat duduk motosikal itu," katanya.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat dibawah Akta 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah.-- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan