Selasa, 12 April 2016

PAS tetap mahu tandingi 11 kerusi pada PRN Sarawak

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Sarawak tidak akan berganjak daripada 11 kerusi yang diumumkan sebelum dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang dijangka diadakan pada Mei nanti.
 
Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee berkata, ini kerana PAS daripada awal lagi sudah mengumumkan kerusi yang mahu ditandinginya.
 
Malah parti Islam itu tidak akan menghalang sekiranya Pakatan Harapan (PH) juga mahu meletakkan calon di kawasan yang ditandingi PAS.
 
"Kalau PKR hendak juga bertanding di kawasan itu, itu terserah dengan mereka. Sebab kita sudah bagi tahu awal kita mahu bertanding di 11 kerusi, jadi banyak lagi kerusi lain yang kosong. 
 
"Kita ada 82 kerusi, maknanya kalau mereka hendak masuk juga itu terserah dengan merekalah," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.
 
Beliau mengulas mengenai pertindihan kerusi yang mungkin akan berlaku walaupun PKR mahu bertanding satu penjuru pada PRN tersebut.
 
Semalam pada Mesyuarat Majlis Presiden, Pakatan Harapan memberitahu mesyuarat tersebut tidak membabitkan PAS dalam perbincangan mereka mengenai pembahagian kerusi walaupun PAS masih bertahaluf siyasi dengan PKR.
 
Kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu menimbulkan pelbagai pertanyaan tambahan PRN Sarawak semakin hampir sedangkan Azizah menegaskan hanya pertandingan satu lawan satu.
 
Azizah semalam ketika ditanya sama ada kerusi PAS dan PKR bertindih, beliau bagaimanapun hanya memberitahu PAS tidak terlibat dalam Mesyuarat Majlis Presiden.
 
 

Tiada ulasan: