Isnin, 25 April 2016

PAS akan mula perhati sikap PKR - Dr Zuhdi

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS akan mula memerhati pendirian dan keikhlasan PKR dalam meneruskan tahaluf siyasi selepas parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertindak meletakkan calon di lima kerusi DUN Sarawak, yang diperuntukkan kepada parti Islam itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-10.
 
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki berkata PAS awal-awal lagi mengumumkan mahu bertanding di 11 kerusi pada PRN kali ini dan meminta agar tiada mana-mana parti pembangkang meletakkan calon di kerusi tersebut.    
            
Bagaimanapun, PKR tetap meletakkan calonnya sekaligus menyaksikan tiada pertandingan satu lawan satu di empat kerusi DUN yang mahu ditandingi PAS.
 
Empat kerusi itu adalah DUN Pantai Damai, Kakus, Jepak dan Lambir.
 
Namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonan calon PKR DUN Pantai Damai disebabkan muflis.
 
"Setakat ni kita masih berpegang kepada keputusan yang dibuat Majlis Syura bahawa tahaluf siyasi dengan PKR masih ada. 
 
"Kita tak pernah membatalkan perkara ini, cuma apa yang berlaku di Sarawak ni akan tetap menjadi perhatian PAS tentang sikap dan pendirian PKR terhadap PAS," katanya kepada Antarapos.
 
Tindakan PKR meletakkan calon di empat kerusi yang mahu ditandingi PAS bertentangan dengan jaminan yang diberikan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali bahawa tiada pertindihan kerusi membabitkan dua parti itu.
 
Zuhdi berkata PKR sepatutnya tidak meletakkan calon di kawasan DUN yang ditandingi PAS kerana senarai tersebut adalah kerusi tradisi parti Islam itu pada PRN lepas. 
 
"Bila kita dah umum senarai kerusi itu, PKR sepatutnya memberi laluan kepada PAS kerana sebahagian daripada 5 kerusi tu memang kita dah pernah bertanding sejak dulu lagi. Jadi apa yang berlaku ni menunjukkan bahawa PKR memang tak mahu berbincang dengan PAS," katanya lagi.  
 
Malah katanya, PAS sudah dapat menghidu pertindihan tersebut akan berlaku ekoran PKR tidak mahu mengadakan perbincangan dengan mereka.
 
"Dalam konteks Sarawak ni, PKR memang tak mahu bincang dengan PAS. Awal-awal mereka dah beritahu tiada perbincangan kerusi dengan PAS kerana ia melibatkan PH iaitu PKR, DAP, PAN. Jadi PAS tak terlibat dalam perbincangan pembahagian kerusi Sarawak ni," jelas beliau.   
 
Pertembungan itu bukan sahaja melibatkan PKR, tetapi PAS juga berdepan dengan Parti Amanah Negara (PAN) di lima kerusi antaranya Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.
 
Manakala DAP di dua kerusi iaitu di Samalaju dan Pujut.
 

Tiada ulasan: