Selasa, 12 April 2016

'PAC tak diberi penyata bagi tentukan dana 1MDB di akaun Najib'

MALAYSIAKINI




Ketua Audit Negara tidak dibekalkan dengan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk memeriksa jika dana 1MDB masuk ke dalam akaun bank Perdana Menteri Najib Abdul Razak, dedah ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pembangkang.

Oleh itu, kata mereka, adalah tidak munasabah bagi pengerusi PAC Datuk Hasan Ariffin mendakwa laporan PAC yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan Najib tidak mendapat manfaat daripada 1MDB.

“Malangnya pihak PAC juga tidak dapat mengesahkan sama ada pembayaran dilakukan daripada 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri kerana dokumen-dokumen yang diperlukan seperti penyata bank tidak diserahkan kepada Ketua Audit Negara.

“PAC juga tidak pernah membuat sebarang keputusan bahawa perdana menteri tidak bersalah.

“Oleh itu kami menggesa supaya Hasan untuk mengemukakan bukti melalui Hansard bahawa keputusan ini dibuat sebulat suara dan konsensus oleh semua anggota PAC,” kata lima anggota PAC itu dalam satu kenyataan media.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen DAP Tony Pua dan Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen PKR William Leong dan Kamarul Baharin Abas dan Datuk Takiyuddin Hassan dari PAS.

Sebaliknya, kata mereka, dokumen yang diperolehi oleh Ketua Audit Negara menunjukkan bahawa Najib meluluskan secara bertulis segala keputusan penting yang dibuat oleh 1MDB.

Ini termasuk:
  • Pelaburan dengan Petrosaudi International,
  • Penerbitan bon sebanyak US$6.5 bilion,
  • Pembelian syarikat-syarikat penjanakuasa bebas; dan pemecatan juruaudit yang tidak setuju dengan pendirian 1MDB.
“Sehubungan dengan itu, kami menggesa supaya pengerusi PAC menarik balik kenyataannya kerana ia merupakan kenyataan yang langsung tidak berasas, menyelewengkan pendangan PAC dan bersifat bohong.

“Kami berharap supaya Hasan tidak menyalahgunakan jawatannya sebagai pengerusi PAC, sebuah jawatankuasa Parlimen untuk kepentingan politik BN dan Najib,” kata mereka.

Tiada ulasan: