Isnin, 4 April 2016

Beli kain RM55 juta di Jakel: DAP buat laporan polis minta siasat Najib

lipeng_reportpolis

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Wakil DAP hari ini sekali lagi membuat laporan polis menggesa siasatan dilakukan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak – kali ini berhubung pendedahan akhbar Wall Street Journal (WSJ) bahawa beliau memindahkan lebih AS$14 juta (RM 55 juta) kepada peruncit pakaian mewah Jakel Trading dari 2011 hingga 2014.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng bersama veteran DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew dan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Young Syefura Othman, membuat laporan polis berkenaan di IPD Dang Wangi di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Menyifatkan jumlah wang dipindahkan oleh Najib ke akaun Jakel itu sebagai tidak masuk akal, Lip Eng berkata Najib perlu memberitahu rakyat sama ada laporan WSJ itu benar atau tidak kerana ia mungkin melibatkan unsur rasuah, pengubahan wang haram atau pelarian cukai.

“Saya tidak faham dari mana Najib mampu membelanjakan RM55 juta hanya untuk membeli kain dalam masa empat tahun. Gaji Najib hanya RM60,000 sebulan, bermakna dia menerima gaji kurang dari RM1 juta setahun.

“Wang dibelanjakan untuk membeli kain adalah lebih banyak dari gajinya. Perkara ini tidak masuk akal dan menimbulkan persoalan dari mana dia dapat wang sebanyak itu,” katanya kepada Roketkini.

Sementara itu, Ronnie ketika dihubungi berkata, laporan polis itu dibuat bagi menggesa polis dan pihak terlibat seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat akaun Najib secara terperinci.

“Selepas pendedahan WSJ, kini rakyat tahu bahawa Najib dan isterinya berbelanja mewah sehingga menghabiskan RM55 juta hanya untuk membeli kain. Jadi, pelbagai pihak harus siasat sama ada wang itu diperoleh dengan cara yang betul atau tidak.

“Saya, Lip Eng dan Rara (Syefura) memeriksa harga kain di Jakel dan mendapati satu helai kain secara maksimumnya mencecah RM10,000. Adakah Najib membeli 5,500 helai kain untuk Rosmah dalam masa empat tahun?

“Jika ia benar, bermakna Rosmah adalah lebih teruk dari Imelda Marcos, isteri bekas Presiden Filipina yang dikecam rakyat kerana perbelanjaan mewahnya dan memiliki 3,000 pasang kasut,” katanya.

Syefura yang juga dikenali sebagai Rara pula berkata apa dilakukan Najib itu salah dari sudut moral dan etika sebagai pemimpin memandangkan beliau berbelanja mewah ketika hidup rakyat semakin terhimpit akibat pelbagai dasar ekonomi kerajaan yang membebankan.

“Adakah patut pemimpin tidak putus berbelanja mewah sedangkan hidup penduduk Malaysia kini semakin susah kerana tindakan urusan ekonomi negara yang tidak mesra rakyat?

“Rakyat terpaksa membayar cukai GST dan subsidi mereka ditarik kembali. Peruntukan untuk rakyat juga dipotong sana-sini, termasuklah biasiswa pendidikan untuk golongan cerdik pandai dalam negara. Di manakah hati perut mereka?” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: