Ahad, 24 April 2016

'Nancy tak matang sokong larangan masuk ke Sarawak'

MALAYSIAKINI




Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri "tidak matang" apabila menyokong larangan kemasukan ahli-ahli politik pembangkang ke Sarawak dengan alasan mengekalkan keharmonian, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Nancy, yang juga Ahli Parlimen PBB untuk Batang Sadong, menggesa orang luar yang tidak tahu mengenai negeri itu agar tidak campur tangan dengan keputusan berkenaan.

"Komen Nancy adalah tidak matang dan tidak masuk akal kerana tidak membenarkan ahli-ahli politik pembangkang masuk ke negeri itu, menafikan akses kepada pandangan alternatif, terutamanya di kawasan luar bandar.

"Ia merupakan satu pukulan terhadap semangat pilihan raya bebas dan adil kerana ahli politik pembangkang tidak dapat berkempen dan mendidik pengundi," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mempersoalkan sekiranya senarai individu diharamkan itu dilakukan kerana takut terhadap serangan pembangkang sejak pilihan raya negeri 2011.

Mereka yang dilarang memasuki Sarawak termasuk Ahli Parlimen DAP Liew Chin Tong, Anthony Loke dan Tony Pua, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin dan Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh.

Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah juga dihalang daripada masuk ke negeri itu.

Tiada ulasan: