Sabtu, 2 April 2016

Nak jala ikan, dapat tengkorak manusia

Nak jala ikan, dapat tengkorak manusia
Tengkorak manusia yang ditemui dalam Sungai Muar di Kampung Gentam, semalam. - Foto Sinar Harian oleh SYAIRAH ABDUL LAJIS
 
 
KUALA PILAH - Seorang lelaki yang pada awalnya menyangka mendapat ikan ketika menjala di Sungai Muar di Kampung Gentam, terkejut apabila dia terjala tengkorak manusia.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, lelaki yang tergamam melihat ada tengkorak manusia dalam jalanya bersama hasil tangkapan itu terus memaklumkan penemuan itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Luqman Abd Rahman berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan ke lokasi untuk siasatan.

"Kami dapati, tengkorak yang masih ada gigi itu dipercayai milik orang dewasa.

"Tengkorak terbabit telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dianalisis bagi mengenal pasti identiti mangsa," katanya.

Jelasnya, polis masih belum dapat mengesahkan penemuan itu dengan kematian akibat perbuatan jenayah atau kemalangan.


"Setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat," katanya.


Tiada ulasan: