Sabtu, 23 April 2016

MP dakwa ada kenaikan bil TNB lebih RM30,000

MALAYSIAKINI




Anggota parlimen Segambut Lim Lip Eng menuntut penjelasan Tenaga Nasional Berhad berhubung dakwaan kenaikan mendadak bil elektrik.

Beliau mendakwa menerima aduan daripada sebuah syarikat yang mendakwa mengalami kenaikan lebih RM30,000 berbanding bulan sebelum itu.

“Pun begitu, saya telah menerima rungutan daripada sebuah syarikat yang mendakwa bil elektriknya meningkat daripada purata sekitar RM3,000 sehingga mencecah hampir RM35,000.

“Saya kira ini bukan suatu kes terpencil, dan yakin bahawa banyak lagi syarikat dan individu yang menanggung kenaikan bil elektrik dalam skala sebegini,” katanya.

Dalam kenyataannya kepada media, Lim (gambar) turut melampirkan gambar-gambar bil berkaitan bagi membuktikan dakwaan itu.

Sejak kelmarin, laman Facebook TNB Careline menjadi sasaran kemarahan orang ramai dan dihujani dengan pelbagai pertanyaan.

Ramai pengguna melahirkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa caj elektrik di rumah mereka naik mendadak sejak kebelakangan ini. meskipun penggunaan harian adalah sama.

TNB Careline dalam catatan di Facebook mendakwa cuaca panas terik dan kering yang berpanjangan mempengaruhi tabiat penggunaan peralatan elektrik khususnya pendingin hawa.

Penggunaan elektrik juga boleh meningkat bagi peralatan lama yang tidak diselenggara dengan baik, sekali gus akan meningkatkan penggunaan elektrik secara mendadak serta memberi kesan ke atas bil pengguna, katanya.

Fenomena aneh

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata sukar untuk diterima bahawa kenaikan caj elektrik adalah berpunca daripada pengguna dan mengandaikan TNB langsung tidak menyumbang kepada “fenomena aneh” itu.


“Tidak sedikit aduan yang saya terima mengenai meter TNB yang memberi bacaan salah, selain masalah pendawaian yang turut menyumbang kepada ralat-ralat dalam pembacaan meter,” katanya.

Beliau justeru menyeru TNB dan kerajaan meneliti setiap aduan dan memeriksa meter mereka jika ada yang tidak kena serta tidak meletakkan beban kesalahan di bahu pengguna semata-mata.

“Pengguna berhak mendapat layanan sebaiknya bagi setiap aduan mereka,” katanya.

Beliau juta berkata TNB boleh mempertimbangkan memberi diskaun kepada pengguna selepas takat kegunaan tertentu bagi meringankan beban orang ramai serta industri kecil dan sederhana.

"TNB sebagai satu-satunya pembekal tenaga elektrik, tidak mempunyai pesaing dan mampu memberi keringanan kepada pengguna setelah bertahun-tahun ia mengaut untung berbilion ringgit.

“Saya juga mencadangkan pihak kerajaan supaya mempertimbangkan untuk menangguhkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas bil elektrik sementara negara mengharungi musibah musim panas melampau ini.

“Caj GST ke atas bil elektrik sangat membebankan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya.


Tiada ulasan: