Khamis, 14 April 2016

Maria Chin tolak dakwaan Deklarasi Rakyat tiada sambutan

Oleh Azizul Osman 
  Post Pic



SHAH ALAM: Aktivis politik Maria Chin Abdullah menolak dakwaan Himpunan Selamatkan Malaysia gagal mencapai matlamat berikutan sambutan hambar orang ramai sejak ia diadakan kali pertama di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, hujung bulan lalu.

Katanya, jumlah peserta himpunan tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat yang mahu perubahan dalam agenda politik negara sekarang.

"Saya rasa himpunan pertama di MPAJ lebih kurang 5,000 kerana diumumkan di saat-saat akhir. Di Sepang saya rasa ada ramai yang datang. Jadi saya rasa bukan kerana tidak ramai orang maknanya Deklarasi Rakyat telah gagal.

"Siapa yang turunkan tandatangan itu yang penting. Tidak penting jumlah yang turun kepada himpunan berkenaan. Kalau mereka datang ialah untuk dengar apa yang Tan Sri Muhyiddin cakap, itu cuma sifat ingin tahu mereka. Ia tidak perlu dipertikaikan," katanya.

Maria berkata demikian apabila media melaporkan bahawa jumlah yang hadir pada Himpunan Selamatkan Malaysia buat kali kedua yang diadakan semalam hambar dan gagal mendapat sambutan.

Ditanya adakah jumlah itu menunjukkan bahawa rakyat sudah bosan dengan 'orang buangan Umno' yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Najib, Pengerusi Bersih 4.0 itu berkata, ia tidak benar kerana deklarasi berkenaan kini sudah berjumlah lebih 100,000 tandatangan.

"Saya tidak fikir begitu. Ini kerana bila kita ada himpunan dan jelajah, ramai sahaja orang yang datang.
Mereka nampaknya ingin tahu dan banyak soalan diajukan. Seperti di Kedah, Pulau Pinang kerana meraka nak tahu apakah itu Deklarasi Rakyat dan mengapa penting untuk mereka turunkan tandatangan.

"Saya rasa itu adalah indikasi yang bagus (untuk Deklarasi Rakyat) tapi mesti ada pihak yang tidak setuju tapi ini tidak mengapa, kerana kami hormati setiap pandangan masyarakat," katanya.

Semalam giliran bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun ke padang dalam siri jelajah Selamatkan Malaysia selepas diadakan pertama kali di Pandan Indah yang dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkongsi pentas bersama Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal yang banyak mengitar semula tuduhan-tuduhan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun ia gagal mendapat sambutan apabila hanya 100 orang hadir majlis itu.


Tiada ulasan: