Khamis, 7 April 2016

Mana laporan Ketua Audit Negara tentang 1MDB? soal MP pembangkang

HAZAYANI ZAKARIA


Sidang media ahli parlimen pembangkang di lobi Dewan RakyatSidang media ahli parlimen pembangkang di lobi Dewan Rakyat


Ahli parlimen pembangkang mempersoal ketiadaan dokumen laporan Ketua Audit Negara berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun laporan berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB dibentangkan hari ini.

Ahli parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata, seharusnya dokumen berkaitan 1MDB disertakan memandangkan siasatan ke atasnya sudah berakhir dan tidak perlu dikelaskan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) lagi.

“Amat malang dan mengecewakan kerana satu lagi dokumen yang kita nantikan iaitu laporan daripada Ketua Audit Negara berhubung 1MDB tidak disekalikan dalam laporan PAC.

Beliau menggesa Ketua Audit Negara memberikan satu tempoh masa bagi dokumen 1MDB tidak lagi dikelaskan di bawah OSA supaya semua ahli parlimen mendapat maklumat mengenainya.

“Saban tahun kita mendapat semua laporan daripada Ketua Audit bukan sahaja syarikat GLC atau jabatan-jabatan tanpa ada klasifikasi tapi dalam isu ini agak memeranjatkan kerana ia dilabelkan di bawah OSA.

“Oleh demikian sesiapa yang ada maklumat atau mendedahkan maklumat berhubung isu itu dianggap melanggar OSA.

“Kita mendesak Ketua Audit Negara memberikan tempoh masa sama ada seminggu, dua minggu atau tiga minggu untuk dokumen ini didedahkan kerana ia hak ahli parlimen untuk mengetahui sebelum sesi parlimen berakhir,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, Ketua Audit Negara perlu bersikap telus dan terbuka dengan menyertakan dokumen 1MDB dalam pembentangan laporan PAC hari ini bagi mengelakkan rakyat terus mempunyai persepsi negatif terhadap ketelusan kerajaan.
“Kebimbangan saya apabila dokumen 1MDB ini diklasifikasi bawah OSA ia boleh menimbulkan ketidakpercayaan orang ramai terhadap (Jabatan) Audit Negara.

“ Mereka perlu tunjuk sikap telus, terbuka dan bebas tapi apabila diklasifikasikan laporan yang sangat penting yang tidak pun menyentuh persoalan ketenteraman negara mungkin hanya menyentuh ketenteraman perdana menteri dan juga pimpina kerajaan tiba-tiba ketua audit mengklasifikasikan sebagai OSA,” katanya.

Sementara itu ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad tidak menolak kemungkinan ketiadaan laporan 1MDB adalah bagi menyelamatkan individu tertentu.

“Mungkin ketua audit negara ingin mengelakkan beberapa isu yang bersabit dengan individu tertentu tapi tindakan sebegini menambahkan lagi andaian negatif dan rasa tidak yakin rakyat dan mereka menganggap semeangnya berlaku penyelewengan.

“Niat ketua audit untuk membantu menutup perkara teetrntu tak membantu. Rakyat terus akan rasa ada penyelewengan dan rasuah dan sebagainya,” katanya.

Hari ini, PAC membentangkan laporan berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB selepas laporan ini dipersetujui sebulat suara serta konsensus ketika mesyuarat penyediaan laporan pada Isnin lalu.

Tiada ulasan: