Jumaat, 1 April 2016

Mahathir diheret bawah Akta Hasutan, Najib pula tetap kebal

Oleh Fyza Abd Halim


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak kerajaan berhenti menjadikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mangsa Akta Hasutan, tetapi tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, siasatan Mahathir mengikut akta tersebut tidak masuk akal apatah lagi terhadap seorang pemimpin yang lama memimpin negara.
IMG_7381
“Amatlah tidak masuk akal apabila pihak berkuasa berpendapat keselamatan negara boleh diancam hanya dengan kata-kata seorang negarawan yang sudah berumur 90 tahun dan telah menghabiskan hampir keseluruhan usianya di dalam perkhidmatan awam,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan.

“Undang-undang keselamatan sepatutnya digunakan untuk melindungi negara daripada ancaman keganasan yang sebenar, bukan untuk menyelesaikan pertikaian politik.

“Sepatutnya, dengan segala pendedahan baru-baru ini ke atas Perdana Menteri sama ada di dalam kes 1MDB mahupun pemindahan wang dengan jumlah yang besar ke akaun peribadinya, kami yakin pihak berkuasa mempunyai bukti cukup untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Najib,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, AMK juga membuat gesaan yang sama berhubung siasatan terhadap Majlis Peguam, ekoran meluluskan usul menggesa Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali meletakkan jawatan.

“Kami juga tidak senang hati dengan penyiasatan di bawah akta yang sama ke atas beberapa peguam yang membuat satu usul berkenaan Peguam Negara di Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam baru-baru ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu mengulangi pendirian KEADILAN yang konsisten menolak akta zalim ini.

“Kami sering berpendirian bahawa Akta Hasutan haruslah dihapuskan, tidak kira ia digunakan ke atas sesiapa pun. Terlalu banyak kesalahan jenayah serta perkara lebih serius yang harus ditangani oleh pihak berkuasa pada masa ini.

“Kami percaya semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras berkongsi sentimen ini dan tidak mahu sebarang tindakan diambil sama ada ke atas Dr Mahathir mahupun peguam-peguam tersebut,” kata Nik Nazmi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad dilapor berkata, tindakan terbabit perlu diambil selepas bekas Perdana Menteri itu mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan dengan tujuan menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri, ketika berucap pada Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia di Ampang, Isnin lalu.

Tiada ulasan: