Sabtu, 16 April 2016

Lim Guan Eng dibenar masuk ke Sarawak

MALAYSIAKINI




Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dibenarkan memasuki Sarawak walaupun sebelum ini beberapa pemimpin dari parti itu dilarang ke negeri itu.

Semalam, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang, telah memberi notis awal kepada pihak imigresen Sarawak sebelum berlepas ke sana. Beliau menaiki pesawat AirAsia AK5432 dan tiba di Lapangan Terbang Kuching pada pukul 9.10 pagi ini.

Lim diiringi oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang juga dibenarkan masuk oleh pihak imigresen Sarawak.

Lim, dalam suratnya kepada Tan Sri Adenan Satem pada hari Selasa, merayu kepada ketua menteri Sarawak itu supaya menghentikan sekatan terhadap pemimpin pembangkang untuk ke negeri itu menjelang pilihan raya Sarawak pada 7 Mei ini. Bagaimanapun, beliau tidak menerima sebarang respons.

Sekurang-kurangnya 30 pemimpin pembangkang dan aktivis termasuk Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, telah dihantar pulang sebaik tiba di Sarawak.

Lim telah menegaskan bahawa mengikut Akta Imigresen 1959/1963, walaupun Sarawak melaksanakan autonomi ke atas hal ehwal imigresen, tetapi ia tidak boleh melarang individu memasuki negeri itu untuk aktiviti politik yang sah.

Adenan menegaskan bahawa kerajaan hanya melarang pelampau dari datang ke Sarawak.

Pihak imigresen Sarawak enggan mengeluarkan senarai penuh mereka yang dilarang masuk ke negeri itu.


Tiada ulasan: