Isnin, 4 April 2016

Lim: Bagaimana agresif SPRM siasat Najib berbanding Guan Eng?

MALAYSIAKINI




Pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang mahu tahu bagaimana sikap agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbanding siasatan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kit Siang mendakwa agensi itu segera bertindak apabila BN mengenakan tuduhan rasuah terhadap Guan Eng, dan menghantar pegawainya secepat kilat untuk mencari pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

"Kerana skandal RM4.2 bilion derma Najib ialah 1,500 kali lebih besar daripada yang dikatakan skandal banglo RM2.8 juta Guan Eng, manakala skandal RM55 bilion 1MDB adalah 20,000 kali lebih besar daripada skandal yang dikatakan itu, adakah SPRM telah mengarahkan ratusan pegawainya untuk menyiasat skandal mega Najib, mencari sepantas kilat pejabat perdana menteri di Putrajaya dan mengangkut dokumen-dokumen?

"Jika tidak, kenapa?" Kit Siang menyoal pada satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah membangkitkan persoalan itu sambil menggesa SPRM membuktikan bahawa ia bukan merupakan bidak politik yang digunakan untuk mensasarkan pembangkang.

SPRM kini menyiasat anak Kit Siang selepas seorang ahli parlimen BN mendakwa Guan Eng membeli banglo jauh lebih rendah daripada nilai pasaran pada tahun lepas.

Agensi pembanteras rasuah itu sebelum ini juga mengemukakan dua kertas siasatan berhubung derma RM2.6 bilion dan skandal RM42 juta wang SRC International yang dikaitkan dengan Najib.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagaimanapun memutuskan tiada tindakan lanjut berhubung kedua-dua kes itu, dan membersihkan nama Perdana Menteri daripada sebarang kesalahan.
Sama ada Guan Eng dan Najib, kedua-duanya menafikan melakukan kesalahan rasuah.


Tiada ulasan: