Rabu, 6 April 2016

Liga Super 2016 – Selangor Dan Kedah Berkongsi Mata Di Selayang

SELANGOR INSIDER



SElvKED2-2


The Red Giants gagal mengulangi rekod kemenangan ke atas Kedah ketika aksi final Piala Malaysia 2015 apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam.

Kedah lebih awal memberi amaran kepada benteng pertahanan Selangor apabila Sandro da Silva melakukan percubaan dari dalam kawasan kotak penalti Selangor tepat ke gawang gol Selangor seawal minit ke 5 perlawanan. Namun percubaan tersebut berjaya diselamatkan oleh Norazlan Razali.

Selang 2 minit kemudian, kealpaaan benteng pertahanan Selangor dihukum oleh jaringan pendahuluan Kedah apabila Syazwan Zainon menyepak masuk bola dari dalam kotak penalti Selangor.

Kedah cuba menggandakan asakan menerusi percubaan Ahmad Fakri Saarani 3 minit selepas jaringan pertama namun percubaan tersebut sekali lagi berjaya ditepis oleh Norazlan Razali.

The Red Giants menukar corak permainan dengan melakukan hantaran-hantaran pendek dan menguasai bahagian tengah. Pada minit ke 30, R Gopinathan menjaringkan gol dengan rembatan deras menewaskan menjaga gol Kedah. Selang seminit kemudian, Selangor didepan dengan gol jaringan kedua apabila Patrick Ronaldinho Wleh menolak masuk bola juga dua pemain pertahanan Kedah ke dalam gol hasil daripada hantaran R Gopinathan untuk jaringan kedua Selangor.

Tersentak dengan 2 jaringan dalam masa 2 minit, Kedah kembali cuba menguasai bahagian tengah, namun pertahanan Selangor berjaya mematahkan gerakan tersebut. Kedah bagaimanapun berpeluang untuk menjaringkan gol apabila sepakan percuma Sandri ditepis keluar oleh Norazlan pada minit ke 39. Pada minit ke 41, Norazlan Razali sekali lagi berjaya menepis keluar rembatan Sandro da Silva untuk memastikan Selangor kekal mendahului hingga tamat babak pertama perlawanan.

Babak kedua melihatkan skuad Lang Merah memperkemaskan corak permainan dengan kembali menguasai bahagian tengah menyebabkan Selangor hanya bertahan dan melakukan hantaran jauh mencari Patrick Ronaldinho.

Penguasaan Kedah di bahagian tengah berjaya mengkucar kacirkan bahagian pertahanan Selangor. Amirul Hisyam hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh Norazlan Razali. Kedah berjaya menembusi benteng pertahanan Selangor sehinggalah Raimi Md Noor menjatuhkan Kahê seterusnya pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Kedah.

Sandro da Silva dengan tenang menyempurnakan sepakan penalty untuk gol penyamaan pada minit ke 67.

Selangor melakukan pertukaran di pertengahan babak kedua apabila mengeluarkan Andik Vermansah dan Hafiz Kamal dengan memasukkan ahmad Hazwan Bakri dan S Veenod pada minit ke 67. Pada minit 79, Zainal Abidin Hassan sekali lagi melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Mauro Olivi dan memasukkan Adam Nor Azlin.

Selangor cuba bangkit mencari gol kemenangan di akhir babak kedua dengan percubaan Ahmad Hazwan Bakri tersasar dari gawang gol Kedah pada minit ke 86 perlawanan. Kedudukan 2-2 bagaimanapun kekal hingga tiupan wisel penamat.

Dengan keputusan seri ini, Selangor kekal di tangga ketiga liga di belakang JDT dan Felda United dengan mengumpul 11 mata setelah mengharungi 6 perlawanan. The Red Giants dijadualkan akan bertemu pasukan tangga kedua liga, Felda United di Stadium Tun Abd Razak Jengka, Jumaat ini.

Tiada ulasan: