Khamis, 7 April 2016

Lembaga Pengarah 1MDB tawar letak jawatan

 
Walaupun keputusan itu sukar diambil, tetapi ia adalah langkah yang betul bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti dicadangkan PAC.


1mdb



PETALING JAYA: Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini secara kolektif menawarkan peletakan jawatan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang merupakan 100% pemegang saham syarikat terbabit.

Lembaga Pengarah 1MDB dalam satu kenyataan menjelaskan, walaupun ia merupakan keputusan sukar, tetapi pihaknya percaya ia adalah langkah betul dalam situasi itu, bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang dicadangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurut kenyataan itu, Lembaga Pengarah 1MDB telah berjaya membawa syarikat itu mengharungi satu tempoh unik yang mencabar dan percaya laporan PAC yang dibentangkan hari ini boleh menghentikan semua dakwaan palsu dilemparkan terhadap syarikat terbabit.

“Lebih penting lagi, dana syarikat 1MDB telah diambil kira sepenuhnya dan tidak ada kes “RM42 bilion hilang”, seperti didakwa sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

“Juga telah disahkan, 1MDB tidak memindahkan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan itu.

Lembaga Pengarah 1MDB juga menjelaskan, mereka telah memainkan peranan dan tanggungjawab sebaik mungkin, termasuk melaksanakan pelbagai langkah tadbir urus korporat, seperti mewujudkan prosedur operasi standard untuk syarikat, menubuhkan jawatankuasa audit dan pengurusan risiko Lembaga Pengarah.

“Di samping itu, Lembaga Pengarah juga telah memastikan kerjasama penuh diberikan kepada semua pihak berkuasa yang menjalankan siasatan ke atas syarikat ini. Semua dokumen sokongan yang ada telah pun dikemukakan,” katanya.

Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkan PAC hari ini mendapati, struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat pelaburan strategik itu ‘kurang memuaskan’ yang menjurus kepada kelemahan tadbir urus.

Hasil siasatan PAC turut mendapati, 1MDB bergantung kepada hutang dalam bentuk pinjaman bank, bon dan sukuk sebagai modal syarikat, dengan sebahagian hutang tersebut mendapat jaminan kerajaan atau surat sokongan kerajaan.

Laporan itu turut mengesyorkan Lembaga Penasihat 1MDB dimansuhkan bersama Artikel 117 dalam memorandum dan artikel syarikat itu.

Pada masa sama, PAC meminta agensi penguatkuasa menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan.

Tiada ulasan: