MALAYSIA DATELINE
"Negara boleh hancur dengan pemimpin bodoh yang turut mahu rakyat
diperbodohkan," kata Gerakan Anak Muda Parti Amanah Negara (Amanah)
mengulas larangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di
twitter beliau berhubung syarahan umum tokoh intelektual antarabangsa,
Dr Zakir Naik hari ini.
"Pemuda Amanah menyatakan kekecewaan yang amat mendalam terhadap
larangan Ketua Polis Negara,
Tan Sri Khalid Abu Bakar di twitter beliau
berhubung syarahan umum tokoh intelektual antarabangsa, Dr Zakir Naik.
Larangan ini mencerminkan tahap kongkongan pihak berkuasa yang amat
parah terhadap ‘intellectual discourse’, yang seharusnya disuburkan,
tidak dihalang apatah lagi dibatalkan sewenang-wenangnya," kata Ketua
Pemuda Amanah Nasional Sany Hamzan dalam satu kenyataan yang disiarkan
portal rasmi parti itu petang tadi.
Atas nama kebebasan bersuara dan kebebasan intelek katanya, Pemuda
Amanah berpandangan syarahan-syarahan ilmiah seperti ini tidak harus
dimusuhi oleh sesiapa pun. Jika wujud pun pertembungan pemikiran,
perkara ini positif kerana sikap inkuiri yang sedia tertanam dalam jiwa
generasi muda mampu disuburkan dengan penggalian ilmu yang lebih luas
dan pandangan ilmiah yang lebih rencam, asalkan kesemuanya itu
berteraskan ilmu dan hujah.
Beliau menyatakan pertentangan pendapat tidak sewajarnya berakhir
dengan pihak berkuasa atau kerajaan memenangkan satu pandangan sahaja.
Mungkin boleh diusulkan pandangan untuk dipentaskan forum yang
menampilkan Dr Zakir Naik dengan pihak yang tidak bersetuju dengan
pandangan beliau.
Hal ini lebih bertamadun daripada membantah atas
alasan-alasan klise seperti ‘ketenteraman awam dan sensitiviti agama’
yang sebenarnya tidak menganjak apa-apa pun kemajuan pemikiran rakyat
bahkan lebih menarik rakyat ke zon pembodohan.
"Pemuda Amanah teguh mempertahankan kebebasan intelek sebagai elemen teras pembinaan masa depan negara.
"Pemuda Amanah juga menyeru agar seluruh parti-parti politik,
NGO-NGO, badan-badan kerajaan dan tokoh-tokoh agamawan untuk teguh
mempertahankan prinsip yang sama. Negara tidak akan mundur dengan rakyat
yang dibijakkan.
"Negara hanya akan hancur dengan pemimpin bodoh yang turut mahu rakyat diperbodohkan." tegas beliau
Tiada ulasan:
Catat Ulasan