Sabtu, 30 April 2016

Larang pembangkang masuk Sarawak boleh jejas imej

PRN Sarawak
Grafik Sinar Online


SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat keputusan larangan kemasukan pemimpin pembangkang ke Sarawak yang dibuat selepas kerajaan negeri di Sarawak dibubarkan, 11 April lalu boleh dipertikaikan dari segi kuasa kerajaan negeri yang berstatus sementara itu.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, BN Sarawak sepatutnya tidak boleh bertindak sebagai kerajaan negeri selagi ia belum ditubuhkan semula.

“Adakah sah dari segi undang-undang kerajaan negeri sementara buat larangan begitu? Sebelum ini, ketika masih menjadi kerajaan (negeri), BN Sarawak ada hak untuk membuat keputusan untuk menghalang sesiapa masuk Sarawak tetapi sekarang dia bukan kerajaan, hanya kerajaan sementara.

"Jadi, BN Sarawak tidak boleh bertindak sebagai sebuah kerajaan yang belum ditubuh lagi. Melainkan individu itu ada rekod jenayah berat dan sebagainya tapi dalam konteks ini tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada Sinar Online.

[ARTIKEL BERKAITAN: Azmin kesal diarah pulang 2 Mei]

Terbaharu,  Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan rasa terkejut apabila beliau diminta meninggalkan Sarawak pada 2 Mei ini dan tidak dibenarkan masuk semula sehingga hari mengundi di Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 7 Mei ini.

Beliau juga akui tidak bersetuju dengan tindakan melarang pembangkang memasuki Sarawak itu.

"Apa salahnya bagi masuk untuk bersaing secara demokrasi? Lagi bagus imej BN Sarawak sekiranya dibenarkan pemimpin Sarawak masuk.

"Bukannya (pembangkang) mampu tarik sokongan banyak pun untuk menang kerusi dan sebagainya tapi apabila buat begini, imej tak bagus untuk BN Sarawak," katanya.

Menurutnya, perkara itu perlu difikirkan semula oleh BN kerana jika tidak, parti itu akan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang tidak demokratik.

"Bimbang selepas pilihan raya nanti mereka (pembangkang) saman dan sebagainya, jadi isu berkaitan Perlembagaan pula," katanya.


Tiada ulasan: