MALAYSIA DATELINE
Ahli
Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, Lembaga Penasihat yang
dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak hanya dianggap
sebagai `tunggul kayu' dalam mengurus dan membuat keputusan mengenai
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata, surat perlantikan Ahli Lembaga Penasihat termasuk
juga dari Kuwait, Qatar dan China yang ditandatangani oleh Perdana
Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB itu.
"Persoalannya, Lembaga Penasihat dilantik tetapi mesyuarat tidak
pernah dibuat, nasihat pun tidak pernah berlaku. Ini memalukan Malaysia
kerana PM Najib melantik orang luar jadi penasihat.
"Nama mereka terpampang dalam Laporan PAC tetapi mesyuarat Lembaga
Penasihat tidak pernah diadakan. Kebimbangan saya ialah jika mereka
membuat kenyataan kesal terhadap kerajaan Malaysia yang hanya
memperalatkan mereka sebagai Lembaga Penasihat di atas kertas," ujarnya
dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz lagi, Najib yang diperuntukan kuasa dalam artikel 117 M
& A telah memberikan semua kebenaran bertulis kepada Lembaga
Pengarah untuk semua perkara yang membabitkan komitmen kewangan dan
pelaburan yang boleh memberi kesan kepada jaminan Kerajaan Persekutuan,
tanpa merujuk dan meminta nasihat dan pandangan daripada Lembaga
Penasihat.
"Pada hal kewujudan Lembaga Penasihat seperti yang diakui oleh Tan
Seri Dr Irwan Siregar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dalam muka surat
26, Laporan Prosiding PAC bertarikh 19 Mei 2015 ialah bertanggung jawab
untuk menasihati pengurusan syarikat dalam urusan perniagaan.
"Malangnya, seperti pengakuan Tan Seri Irwan tiada inisiatif dan
pengurusan syarikat tidak pernah merujuk Lembaga Penasihat dalam apa jua
tindakan.
"Ini menunjukkan semua komitmen kewangan dalam urusan perniagaan dan
pelaburan yang boleh memberi kesan kepada jaminan kerajaan hanya
dilakukan oleh PM Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat tanpa
mendapat nasihat dan pandangan Ahli Lembaga Penasihat. PM Najib buat
pandai-pandai dia sendiri yang akhirnya Penasihat menjadi
'Punahsihat',"ujarnya.
Justeru katanya lagi, Laporan Prosiding PAC jelas menunjukan Najib terlibat dan tidak boleh dilepaskan.
"Apa yang perlu ialah siasatan menyeluruh dan bebas mesti dilakukan dengan segera." ujarnya.
Bahkan beliau juga berasa hairan dan terkejut bila membaca laporan
PAC berkaitan isu "Skandal Negara" 1MDB pada bahagian Laporan Prosiding
Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
"Mengikut laporan prosiding tersebut pada Mesyuarat Jawatankuasa PAC
bertarikh 19 Mei 2015 dalam muka surat 26 di perenggan pertama, Tan Seri
Dr Irwan yang juga merupakan anggota Lembaga Penasihat 1MDB menyatakan
yang Lembaga Penasihat tidak pernah bermesyuarat dan tidak pernah
diminta nasihat oleh Lembaga Pengarah Syarikat dan tidak pernah dirujuk
oleh PM Najib yang juga selaku Pengerusi Lembaga Penasihat.
"Dalam erti kata lain, Lembaga Penasihat jadi macam 'Tongkoi' dan 'Tunggui kayu'," sindir Mahfuz dalam loghat Kedahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan